KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat pada Isnin kecoh seketika apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mendakwa pertukaran jawatan Ketua Pembangkang berpunca daripada perselisihan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Situasi itu tercetus ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bangun mengajukan soalan keempat bagi pertanyaan jawab lisan, menjelaskan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan ahli kepada sebuah parti politik yang berdaftar dan bukan seorang Ahli Parlimen Bebas.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pembangkang menegaskan, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Poay Tiong yang bangun mencelah menyifatkan pertukaran jawatan tersebut seperti Pas 'membuli' Bersatu.
"Ketua Pembangkang tiba-tiba tukar-menukar macam itu, itu adalah pergaduhan antara Pas dengan Bersatu.
"Pas buli Bersatu, sebab itu Ketua Pembangkang tukar-menukar. Tiada standard, pembangkang tidak profesional langsung," katanya.
**media[3558774]**
Susulan itu beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Poay Tiong tidak terus membangkitkan isu berkenaan memandangkan penjelasan telah diberikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Selain itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) turut mencelah mengatakan 'lu siapa' sebelum suasana Dewan kembali terkawal.
Johari kemudian menjelaskan, beliau telah meneliti semua dokumen dan pemakluman yang dikemukakan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang.
"Mungkin Kota Melaka datang lewat. Saya sudah jelaskan, semua dokumentasi telah saya perhalusi dan saya sahkan Larut adalah Ketua Pembangkang. Tiada persoalan lagi," katanya.
Terdahulu, Johari mengesahkan Hamzah kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Jun lalu.




