Hamzah Kembali Dilantik Ketua Pembangkang

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 12:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Hamzah Kembali Dilantik Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas berlaku pertukaran kepimpinan singkat dalam blok pembangkang di Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengesahkan Ahli Parlimen Larut itu menyandang semula jawatan berkenaan berkuat kuasa 18 Jun lalu.

Sebelum ini, Hamzah memegang jawatan tersebut sehingga 20 Mei sebelum digantikan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang menerajui blok pembangkang dari 21 Mei hingga 10 Jun.

Pelantikan semula Hamzah sekali gus mengembalikan susunan kepimpinan pembangkang seperti sebelum ini.

Johari turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah atas pelantikan semula beliau, selain merakamkan penghargaan kepada Ahmad Samsuri atas khidmat yang diberikan sepanjang tempoh memegang jawatan itu.

Perubahan berkenaan susulan keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 13 Jun lalu semasa Konvensyen RESET Malaysia di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini.

Keputusan tersebut mencerminkan kesepakatan yang dicapai dalam kalangan pimpinan PN bagi memperkukuh dan menstabilkan kepimpinan gabungan berkenaan di Parlimen.

Dengan kembalinya Hamzah menerajui blok pembangkang, kemelut pertukaran kepimpinan yang berlaku sebelum ini diyakini telah berakhir, sekali gus mengukuhkan semula barisan kepimpinan  pembangkang. - Getaran, 22 Jun 2026