
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Yang Dipertua, Datuk Seri Ramli Mohd Nor meninggalkan kerusi pengerusi untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027.
Tindakan Ahli Parlimen Cameron Highlands itu menimbulkan bantahan apabila kerusi pengerusi dibiarkan kosong tanpa sebarang pelantikan sementara bagi mengendalikan persidangan.
Kejadian berlaku ketika Ramli membacakan senarai Ahli Parlimen yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya.
Beliau kemudian memaklumkan hasrat untuk turut berbahas sebelum turun dari tempat duduk pengerusi dan menuju ke kerusinya sebagai Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) segera membantah tindakan itu dan mempersoalkan siapa yang akan mempengerusikan persidangan ketika kerusi berkenaan kosong.
Ronald menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dan menegaskan seorang pengerusi sementara sepatutnya dilantik terlebih dahulu sebelum Ramli mengambil bahagian dalam perbahasan.
Menjawab bantahan itu, Ramli mempertahankan tindakannya dengan menjelaskan bahawa beliau telah menyemak peraturan mesyuarat dan mendapati tiada peruntukan yang menghalangnya daripada berbahas.
“Saya juga seorang Ahli Parlimen dan saya memilih untuk berucap dari tempat duduk saya. Saya sudah semak dan tindakan ini tidak melanggar mana-mana peraturan.
“Selepas selesai berbahas, saya akan kembali mempengerusikan persidangan sebagai Timbalan Yang Dipertua,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Susulan pertikaman lidah ringkas itu, seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau memasuki dewan untuk mengambil alih tugas mempengerusikan persidangan, manakala Ramli kembali ke tempat duduk pengerusi.
Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudian bangun menyatakan bantahan dan rasa kecewa terhadap kejadian tersebut kerana Peraturan Mesyuarat menetapkan persidangan perlu sentiasa dikendalikan oleh seorang pengerusi.
“Saya menyatakan kekecewaan dan bantahan terhadap perkara ini. Saya berharap Parlimen tidak menjadi bahan ketawa di Malaysia mahupun di seluruh dunia,” katanya.
Koo Ham turut meminta supaya kejadian itu dikeluarkan daripada rekod rasmi Hansard serta mengingatkan Ramli agar mematuhi peraturan persidangan.
Bagaimanapun, Ramli merujuk Peraturan Mesyuarat 99 yang memberikan kuasa kepada Yang Dipertua untuk mentafsir peraturan dan membuat keputusan berhubung perjalanan persidangan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ngeh boleh mengemukakan usul khusus sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Ramli kemudian kembali mempengerusikan persidangan sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya sebagai Timbalan Yang Dipertua.
Sementara itu, Ketua Penyokong Kerajaan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berpandangan bahawa garis panduan yang jelas perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertikaian sama berulang memandangkan kejadian itu belum pernah berlaku sebelum ini. – UTUSAN
The post Dewan Rakyat kecoh Timbalan Yang Dipertua turun bahas belanjawan appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Timbalan Speaker ‘pindah kerusi’ jarang berlaku!](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-16-at-2.58.02-PM-1024x681.jpeg)


