SHAH ALAM - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dilaporkan tidak mengalami banjir sejak kira-kira tiga tahun lalu hasil pelaksanaan pelbagai projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran.
ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, kejayaan itu hasil kerjasama kerajaan Selangor dan Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang, JPS Selangor serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Menurutnya, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan sistem perparitan, penambahbaikan saliran dan penaiktarafan kolam takungan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
"Di DUN Pelabuhan Klang, kita sudah hampir tiga tahun tidak mengalami banjir dan saya sudah boleh senyum.
"Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu yakin kerana apabila tidak ada banjir, tiba-tiba berlaku pula," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2027 pada sidang DUN Selangor di sini pada Isnin.
Beliau menjelaskan, jika sebelum ini, DUN Pelabuhan Klang masih berisiko mengalami banjir kilat sekiranya hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh sejam.
Katanya, antara usaha dilaksanakan termasuk membesarkan kolam takungan bersaiz kecil serta membersihkan kolam yang tersumbat, kotor dan dipenuhi keladak.
"Kerja penyelenggaraan sistem perparitan, saliran dan longkang juga banyak membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan DUN Pelabuhan Klang.
"Semua ini hasil kerjasama pelbagai pihak dan kita bukan mahu menuding jari mencari salah, sebaliknya lebih kepada usaha menyelesaikan masalah,” katanya.
Menjawab soalan celahan ADUN Seri Serdang, Abbas Azmi mengenai cadangan menggunakan rizab kerajaan negeri sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk menguruskan banjir, Azmizam berkata, perkara itu terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan negeri dalam menguruskan kewangan.
"Saya setuju supaya kerajaan negeri mengkaji juga tentang bagaimana hendak menggunakan rizab-rizab kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah banjir," jelas beliau.





![[TIDAK RASMI] PRN Melaka: Lima kerusi catat majoriti lebih 10,000 undi](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/14/3710654.webp)
![[KIRAAN SEMASA] PRN Melaka: Majoriti BN di DUN Serkam melonjak 12,689 berbanding 79 undi pada PRN lalu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/14/3710523.webp)