
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
‘Beli sekarang, bayar kemudian’ atau lebih dikenal sebagai ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL) kini menjadi pilihan orang ramai.
Menerusi perkhidmatan ini, pengguna boleh mendapatkan barangan sebelum membuat bayaran penuh terlebih dahulu. Senang kata, BNPL ni macam kad kredit tapi tidak perlu dimohon dengan bank.
Boleh dikatakan rata-rata orang ramai mempunyai akses terhadap penggunaan servis BNPL, berbeza dengan kad kredit yang dikawal selia.
Malah, penyumbang tertinggi BNPL adalah golongan belia dan B40.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Ini Beri Pendapat Tentang Konsep BNPL Yang Ramai Terlepas Pandang
Baca Artikel Berkaitan: Transaksi ‘Buy Now, Pay Later’ Meningkat Kepada RM7.1 Bilion Undang Pelbagai Reaksi
Baca Artikel Berkaitan: “Golongan B40 Miliki Kadar Penggunaan Kad Kredit Jauh Lebih Tinggi” – Statistik
Dewan Rakyat Luluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025
Semalam (21 Julai), Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Industri kredit bukan perbankan pada masa kini tidak dikawal selia, dengan perniagaan boleh menyasarkan sesiapa termasuk pengguna rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi.
Sehubungan itu, RUU tersebut digubal bagi menangani kelompongan ini dan bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna kredit dalam negara.
RUUKP juga digubal agar rangka kerja pengawalseliaan dalam landskap kredit pengguna dapat diseragamkan.
“RUU akan dirangka sebagai akta induk bersifat pelengkap kepada akta sedia ada di bawah pentadbiran pihak berkuasa, pengawal selia dan penyeliaan dan tidak menduplikasi fungsi atau peranan kementerian serta agensi sedia ada.
“Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti,” kata Lim.
RUUKP Akan Dijalankan Dalam 3 Fasa, Fasa Terakhir Disasar Bermula 2031
Berdasarkan kenyataan media, RUUKP dijangka akan diwartakan menjelang akhir tahun ini dan dijalankan dalam tiga fasa dengan keupayaan SKP akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Fasa 1
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit yang kini beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.
KPKT sebagai pihak berkuasa kawal selia dan penyelia akan memastikan pemberi pinjam wang berlesen mematuhi aspek perlindungan pengguna kredit yang diperkenalkan.
Di samping itu, beberapa peruntukan dalam Akta Sewa Beli 1967 akan dipinda oleh KPDN bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan memodenkan peruntukan sedia ada.
Fasa 2
Dijangka bermula pada 2028, fungsi pengawal seliaan aktiviti kredit pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dipindahkan kepada SKT.
Fasa 3
Disasarkan bermula pada 2031, pengawal seliaan pelakuan bagi seluruh aktiviti pasaran kewangan dalam Malaysia akan dilakukan secara berpusat, namun masih di peringkat kajian awal oleh kerajaan.
RUUKP Bakal Saksikan Semua Pinjaman Kredit Bukan Perbankan Direkod Dalam Laporan Kredit Kewangan
Dengan kelulusan RUUKP ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah impaknya terhadap perniagaan kredit dan pengguna.
Menerusi hantaran di Threads (@adwanas), seorang individu mengulas berkenaan RUU tersebut yang bakal memberi impak kepada semua pinjaman kredit bukan perbankan yang wajib direkodkan dalam laporan kredit kewangan seperti CCRIS.
Ini termasuklah pinjaman kredit yang dilakukan untuk membuat pembelian telefon pintar dan motosikal secara ansurans, sewa beli penapis air atau penapis udara dan perkhidmatan BNPL dalam talian.
“Nanti semua ini akan diselia di bawah Suruhanjaya Kredit Pengguna. Suruhanjaya Kredit Pengguna ni nanti macam tahap Bank Negara (BNM) untuk sektor kredit bukan perbankan,” katanya.
Tambahnya lagi, langganan dalam talian termasuk bagi perkhidmatan penstriman dikecualikan daripada senarai RUUKP.
Merujuk dokumen RUUKP, jenis perniagaan kredit yang akan dikawal selia terbahagi kepada dua iaitu:
Jenis perniagaan kredit konvensional
(a) Pinjaman wang
(b) Pemajakgadaian
(c) Sewa beli
(d) Jualan kredit
(e) Skim beli sekarang bayar kemudian
(f) Pemajakan
(g) Pemfaktoran
Jenis perniagaan kredit Islam
(a) Kemudahan pembiayaan Islam
(b) Pemajakgadaian Islam
(c) Sewa beli Islam
(d) Jualan kredit Islam
(e) Skim beli sekarang bayar kemudian Islam
(f) Pemajakan Islam
(g) Pemfaktoran Islam

Individu Berpendapat Industri Kereta & Beli Rumah Paling Terkesan Dengan RUUKP
Di samping itu, dia berpendapat bahawa impak terbesar RUUKP akan berlaku terhadap industri kereta baharu, kereta terpakai dan pembelian rumah.
Ini kerana sebarang pinjaman kredit bukan perbankan bakal dikira sebagai komitmen yang boleh menjejaskan nisbah khidmat hutang (DSR) dan memberi kesan terhadap kelulusan pengguna untuk mendapatkan pinjaman bank.
Sebagai contoh, jika seorang individu bergaji RM3,000 dan mempunyai hutang BNPL sebanyak RM1,000 setiap bulan, dia hanya mempunyai baki gaji sebanyak RM2,000 yang mungkin mengurangkan kelayakannya untuk mendapat pinjaman bank.
Dia juga berpendapat bahawa jualan kereta terpakai mungkin paling terkesan dengan penggubalan RUUKP memandangkan industri itu banyak digunakan oleh individu yang tidak layak membuat pinjaman akibat disenarai hitam atau muflis.
Transaksi BNPL Meningkat Ke RM7.1 Bilion Pada Separuh Kedua 2024
Transaksi BNPL di dalam negara sememangnya kian meningkat dengan RM7.1 bilion dicatatkan pada separuh kedua 2024 berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun sama.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata terdapat sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL aktif yang rata-ratanya dari golongan usia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan setakat Disember 2024.
Pun begitu, boleh dikatakan rata-rata pengguna bijak menggunakan servis BNPL dan membuat bayaran pada waktu yang ditetapkan memandangkan jumlah yang tertunggak hanya 2.9% daripada keseluruhan nilai kredit bagi tempoh sama.
Sebagai info, RUUKP 2025 telah dibaca buat pertama kali di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2024.
Baca Artikel Berkaitan: “Ibarat Pisau” – Lelaki Ini Beri Ilmu Cara Guna Kad Kredit Tanpa Caj
Baca Artikel Berkaitan: CTOS Tawar Laporan MyCTOS & CCRIS Percuma Untuk Tingkatkan Kesihatan Kredit
Baca Artikel Berkaitan: Nak Melancong Ke Luar Negara? Ini 4 Jenis Kad Untuk Buat Pembayaran Secara ‘Cashless’
Source:


![Bukan Sekadar Fesyen, Ini Sebab Cermin Mata Hitam Penting Ketika Cuaca Panas [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)

![YouTuber US Puji Malaysia Bersih, Langsung Tak Nampak Sampah Di Stesen MRT [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/travel.jpeg)