amree28/09/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Kos penghantaran antarabangsa di Malaysia bakal meningkat dengan DHL Express mengenakan pelarasan harga purata 5.9% mulai 1 Januari 2027, berikutan tekanan inflasi, kos tenaga, buruh serta keperluan pematuhan terus mempengaruhi kos operasi industri logistik.
DHL Express Malaysia berkata pelarasan harga tahunan itu diperlukan bagi memastikan syarikat kurier tersebut dapat mengekalkan tahap perkhidmatan dan kebolehpercayaan rangkaian penghantaran antarabangsa, selain meneruskan pelaburan dalam infrastruktur serta teknologi terbaik.
Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo dalam satu kenyataan berkata, cabaran perdagangan antarabangsa terus membuka peluang baharu kepada banyak perniagaan di negara ini, namun rantaian bekalan global semakin saling berhubung dan kompleks.
"Pelarasan harga itu membolehkan DHL Express terus mengukuhkan rangkaian global, tahap keupayaan digital, infrastruktur keselamatan serta rumusan logistik secara mampan bagi membantu pelanggan menghadapi segala perubahan persekitaran perdagangan," kata beliau.
Ujarnya, DHL Express berkata kadar harga disemak setiap tahun bagi mengambil kira tekanan inflasi, turun naik pertukaran mata wang asing (forex) serta perkembangan kos khusus industri, selain dipengaruhi keadaan ekonomi tempatan dan perkembangan pasaran global.
Antara faktor yang terus meningkatkan kos operasi ialah kos tenaga, keperluan pematuhan serta perbelanjaan pentadbiran berkaitan perubahan prosedur kastam, kawal selia dan keselamatan yang diperkenalkan pihak berkuasa di peringkat nasional dan antarabangsa.

Jelas Julian, tekanan pasaran buruh di beberapa negara turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi, manakala DHL Express pada masa sama meneruskan pelaburan besar dalam rangkaian global, pemodenan armada, keupayaan digital dan daya tahan operasi.
"Antara perkembangan terkini DHL Express termasuk penghantaran lengkap keseluruhan 28 pesawat kargo Boeing 777 syarikat itu, selain memperkenalkan pesawat lebih menjimatkan bahan api serta memperluas dan menaik taraf infrastruktur di pelbagai rantau," tambahnya.
Dalam aspek keselamatan ujar beliau, syarikat berkenaan sudah melepasi 500 kemudahan diperakui di seluruh dunia pada 2026, sekali gus memperkukuhkan aspek pelaburan dalam teknologi keselamatan, infrastruktur semasa dan proses operasi harian.
Pada masa sama, DHL Express mempertingkat prasarana teknologi bagi memperkukuh keselamatan siber, daya tahan sistem, keterlihatan penghantaran serta kecekapan operasi, termasuk rumusan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan peluasan platform MyExpress.
Kelestarian turut kekal sebagai fokus syarikat menerusi pesawat cekap bahan api, kenderaan elektrik (EV) serta kemudahan neutral karbon bagi mengurangkan pelepasan operasi dan membantu pelanggan mencapai sasaran kelestarian. - DagangNews.com





