Teknologi AI dalam industri kebombaan antara tarikan IFCEM 2027

LocalTechnology
25 Sep 2026 • 2:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Teknologi AI dalam industri kebombaan antara tarikan IFCEM 2027

KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam aspek keselamatan kebakaran dan industri kebombaan antara yang diketengahkan menerusi Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2027 yang akan berlangsung bermula 28 September hingga 1 Oktober tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nordin Pauzi berkata, acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menyasarkan kira-kira 1,500 peserta tempatan dan antarabangsa.

“Ia platform pertemuan dan landasan penting bagi industri antaranya keselamatan kebakaran, kejuruteraan, berkait sistem pemanasan, pengudaraan, penyaman udara dan penyejukan dan sebagainya dalam berkongsi ilmu berkaitan teknologi dan amalan terbaik di seluruh dunia.

“Jadi Malaysia tidak akan ketinggalan pada teknologi baharu, selain diharapkan sentiasa berada di landasan yang betul khususnya bagi aspek keselamatan kebakaran ini,” katanya pada Majlis Prapelancaran IFCEM 2027 di KLCC di sini hari ini.

Nordin berkata, julung kalinya IFCEM turut menampilkan Asia Fire Safety Expo (AFSE) 2027 selain penganjuran secara bersama dengan CIS Network Sdn. Bhd. yang mana akan memperkukuhkan industri tempatan dengan pihak berkuasa serta pakar akademik serta menarik lebih ramai penyertaan, pembentang dan pempamer dari seluruh dunia.

“Pempamer terdiri daripada syarikat, mereka adalah pengeluar bahan-bahan dan material termasuk sistem di dalam keselamatan kebakaran. Jadi kita yakin pengeluar ini mempunyai ejen di Malaysia dan mereka akan sertai.

“Keselamatan kebakaran ini dinamik, jadi kebanyakannya ada benda baharu nak diperkenalkan. Kita juga mempelajari mengenai kenderaan elektrik (EV), pusat data dan sebagainya yang merupakan satu elemen baharu dalam industri, kejuruteraan dan keselamatan kebakaran,” katanya.

Nordin berkata, persidangan tersebut bukan sekadar kehadiran semata-mata, tetapi ia memberi impak besar kepada pemain industri tempatan dengan mempelajarinya menerusi pameran teknologi, simulasi selain sebagai jaringan kepada pihak yang berkenaan.

“Semua teknologi ini ialah yang akan berlaku suatu hari ini di Malaysia, jadi kita bersedia untuk itu. Mereka ini yang akan memainkan masa depan misalnya bagi kejuruteraan, pembinaan dan keselamatan. Selain itu AI juga salah satu tema yang mana Malaysia perlu adaptasi AI dalam bidang penting seperti keselamatan kebakaran, malah AI juga membantu kita membuat keputusan,” ujarnya.

Penganjuran IFCEM 2027 merupakan edisi keenam menggunakan tema ‘Reinforcing A Resilient Horizon’ yang akan memberi tumpuan kepada perkembangan serta cabaran semasa dan masa hadapan dalam bidang keselamatan kebakaran.

Ia merupakan inisiatif JBPM dalam memperkukuh platform keselamatan kebakaran di peringkat tempatan dan antarabangsa melalui perkongsian pengetahuan, kepakaran, teknologi dan inovasi dalam bidang keselamatan serta perlindungan kebakaran. – KOSMO! ONLINE

The post Teknologi AI dalam industri kebombaan antara tarikan IFCEM 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved