Gadai zaman kanak-kanak, pengorbanan Aliff berbaloi

9 Aug 2026 • 8:42 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gadai zaman kanak-kanak, pengorbanan Aliff berbaloi

DI sebalik kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa dan mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, tersimpan kisah kehidupan yang penuh pengorbanan, air mata dan disiplin sejak zaman kanak-kanak.

Jaguh Muay Thai kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu tidak membesar seperti kanak-kanak lain yang menghabiskan masa bermain bersama rakan-rakan, sebaliknya, kehidupannya sudah sebati dengan dunia sukan tempur sejak usia sangat muda.

Segalanya bermula di sebuah gimnasium mini yang dibina bapanya, Rakib Ahmad, di hadapan rumah keluarga mereka dan setiap hari Aliff melihat atlet-atlet berlatih demi mengejar kejayaan.

Persekitaran itu menimbulkan rasa ingin tahu dalam dirinya sehingga dia mula diperkenalkan kepada asas sukan tempur dan tinju seawal usia lima tahun.

Image from: Gadai zaman kanak-kanak, pengorbanan Aliff berbaloi

Menyingkap karier bapanya, Rakib bukan calang-calang individu dalam dunia sukan, dia adalah bekas peninju negara yang pernah menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia pada Sukan Komanwel 1998 .

Walaupun bapanya terkenal dalam dunia tinju, Aliff memilih jalan yang sedikit berbeza apabila lebih tertarik kepada Muay Thai yang dianggap lebih mencabar kerana melibatkan penggunaan tangan, kaki, siku dan lutut.

“Sejak kecil saya memang dibawa ke gim. Saya tengok orang berlatih setiap hari dan daripada situ timbul minat untuk menjadi seperti mereka.

“Sejujurnya bapa yang menjadi pemangkin kecemerlangan saya sehingga berjaya merangkul pingat emas dalam temasya Sukan SEA pertama saya di Vietnam (2022) selain dua kali bergelar juara dunia remaja (2021,2022),” kata Aliff.

Perjalanan kompetitifnya bermula secara tidak dirancang ketika berusia tujuh tahun apabila dia mengikut keluarganya ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan abangnya, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, bertarung dalam sebuah kejohanan.

Ketika melihat suasana perlawanan yang penuh semangat dan sorakan penonton, Aliff tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk turut bertarung walaupun ketika itu dia belum pernah menjalani latihan khusus bagi menghadapi kejohanan rasmi.

Keberaniannya mengejutkan ramai pihak, namun dia akhirnya diberikan peluang untuk beraksi, pertarungan pertama itu berakhir dengan keputusan seri tetapi cukup untuk mengubah haluan hidupnya buat selama-lamanya.

Menyedari bakat luar biasa yang dimiliki anaknya, Rakib mula membawa Aliff menyertai pelbagai kejohanan di Thailand bagi mendapatkan pengalaman bertarung dengan lawan yang lebih berkualiti.

Ketika masih kanak-kanak, Aliff boleh bertarung sehingga dua atau tiga kali dalam tempoh sebulan di Thailand dan semua kos perjalanan, pendaftaran kejohanan dan latihan ditanggung sepenuhnya oleh bapanya menggunakan wang simpanan keluarga.

Pengorbanan keluarga mereka tidak terhenti di situ apabila Ibunya, Che Sue, pernah menutup kedai perniagaan keluarga buat sementara demi memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap keperluan Aliff sepanjang menyertai kejohanan dan kem latihan.

Image from: Gadai zaman kanak-kanak, pengorbanan Aliff berbaloi

Ketika rakan-rakan seusianya menikmati zaman persekolahan dan permainan, Aliff pula menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam gimnasium serta gelanggang pertarungan.

Ketika berusia 14 tahun, Aliff membuat keputusan besar meninggalkan alam persekolahan demi mengejar impian menjadi juara dunia dan dengan penuh keberanian, dia berhijrah seorang diri ke Bangkok untuk menjalani latihan sepenuh masa di Kem Sor Dechapan, sebuah kem terkenal yang melahirkan ramai petarung elit Muay Thai.

Kehidupan di Thailand jauh daripada apa yang dibayangkan, cabaran terbesar bukan sekadar latihan yang memenatkan, sebaliknya masalah komunikasi kerana dia langsung tidak memahami bahasa Thai ketika tiba di sana.

Tekanan hidup di negara asing pernah membuatkan Aliff terfikir untuk pulang ke Malaysia namun, setiap kali semangatnya goyah, kata-kata bapanya menjadi azimat untuk terus bertahan dan berjuang.

Tanpa mengikuti kelas formal, dia belajar bahasa Thai melalui perbualan harian di kem latihan, mendengar arahan jurulatih serta memberanikan diri bercakap sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mampu bertutur dengan fasih seperti warga tempatan.

Ketabahan luar biasa itu akhirnya membuahkan hasil apabila Aliff mula menguasai kejohanan remaja antarabangsa sebelum melangkah ke pentas profesional dan mencipta nama dalam ONE Championship.

“Saya bersyukur dan bangga kerana segala usaha kerasnya sejak kecil akhirnya membuahkan hasil untuk Malaysia.

“Dia mula berlatih ketika berusia lima atau enam tahun. Pada usia 14 tahun, dia berpindah ke Bangkok untuk meneruskan latihan dan berusaha sendiri demi mengejar impiannya,” kata Rakib.

Segala air mata, kesunyian, pengorbanan keluarga dan latihan tanpa mengenal penat sejak usia lima tahun akhirnya terbayar apabila dia muncul sebagai Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Saya berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kejuaraan ini. Saya melalui banyak cabaran dan penat lelah untuk sampai ke tahap ini. Kemenangan serta tali pinggang ini saya dedikasikan buat ayah saya,” ujarnya.-UTUSAN

The post Gadai zaman kanak-kanak, pengorbanan Aliff berbaloi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved