Di sebalik kontroversi, netizen dapat melihat sisi lain Gunung Kinabalu

20 Sep 2026 • 9:23 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Di sebalik kontroversi, netizen dapat melihat sisi lain Gunung Kinabalu

MESKIPUN mengundang kecaman selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan pendakian tanpa permit yang mencetuskan perhatian ramai, kisah pendaki warga Croatia, Mauro Persic, 46, turut memperlihatkan satu sisi lain Gunung Kinabalu yang jarang disaksikan umum.

Perjalanan yang pada awalnya dilakukan secara spontan itu berakhir dengan Persic terpaksa diselamatkan selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika berada di kawasan gunung berkenaan.

Namun, sebelum dibawa keluar oleh pasukan penyelamat, beberapa gambar yang sempat diambil sepanjang perjalanan memperlihatkan keindahan alam semula jadi Gunung Kinabalu dari sudut berbeza.

Ia kemudian dikongsikannya di media sosial ketika masih menjalani rawatan di hospital.

Landskap berbatu, formasi alam semula jadi dan persekitaran gunung yang dirakam menerusi kameranya, memberikan gambaran mengenai keunikan kawasan berkenaan yang mungkin tidak pernah dilihat sebahagian besar orang ramai.

Sekilas pandang pada kesemua gambar itu, seolah-olah membawa orang ramai menyusuri sendiri perjalanan Persic merasai suasana gunung yang sunyi, luas dan penuh dengan keindahan semula jadi yang tersendiri.

Ia juga memperlihatkan bahawa Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pendakian atau puncak untuk ditawan, sebaliknya sebuah khazanah alam yang mempunyai landskap, ekosistem dan nilai budaya tersendiri.

Bagaimanapun, perjalanan Persic turut menimbulkan persoalan apabila beliau dipercayai memasuki kawasan Gunung Kinabalu melalui laluan tidak rasmi dan mendaki tanpa permit sah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Taman-Taman Sabah sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, manakala siasatan bersama PDRM sedang dijalankan.

Katanya, sebarang tindakan terhadap Persic akan diputuskan selepas beliau pulih kerana masih menerima rawatan perubatan ketika ini.

“Sebarang tindakan akan diputuskan selepas beliau pulih, kerana ketika ini beliau masih menerima rawatan perubatan,” katanya.

Menurut Jafry, pihak berkuasa memandang serius pendakian tanpa permit dan penggunaan laluan tidak rasmi kerana keadaan itu boleh membahayakan keselamatan pendaki serta menyukarkan operasi SAR sekiranya berlaku kecemasan.

Difahamkan, Persic mengalami kecederaan pada kaki kanan dan rusuk sebelah kanan selain luka ringan pada tangan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu.

Operasi membawa turun mangsa oleh pasukan SAR, mengalami cabaran apabila berdepan laluan curam menuju ke laluan trek sehingga ke laluan kenderaan dengan kaedah piggy back carry menggunakan Body Harness Carrier (BHC).

Operasi SAR itu membabitkan 43 anggota termasuk 34 anggota bomba, dua ParkSAR, lima malim gunung, seorang porter dan seorang renjer, selain mendapat bantuan PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Parks dan porter.

Operasi yang bermula selepas panggilan kecemasan diterima pada 6 September lalu itu akhirnya ditamatkan sepenuhnya pada 8 malam, 10 September selepas Persic dihantar ke hospital Ranau bagi menerima rawatan lanjut Namun, bagi Persic, apa yang berlaku bukan sekadar kisah seorang pendaki yang cedera.

Ia menjadi pengalaman yang memberi kesan mendalam kepadanya, khususnya apabila melihat sendiri pengorbanan anggota penyelamat dan porter yang bertungkus-lumus membawanya turun dari gunung ketika beliau terlalu lemah dan cedera untuk meneruskan perjalanan sendiri.

Dalam hantaran di media sosial, Persic berkongsi bahawa antara perkara paling menyentuh perasaannya ialah pengorbanan seorang porter yang dianggarkan berusia sekitar 15 tahun.

Pengalaman itu membuatkan Persic menyedari betapa besar pengorbanan pasukan penyelamat dan porter demi memastikan keselamatannya, walaupun mereka sendiri terpaksa berdepan keletihan dan risiko sepanjang operasi.

“Adakah semua ini berbaloi? Saya sendiri tidak tahu. Mungkin tidak. Tubuh yang cedera. Lebih 40 orang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi menyelamatkan seorang.

“Namun begitu, saya melihat sisi kemanusiaan yang terbaik, kemurahan hati, kebaikan dan keprihatinan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Persic turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada seluruh rakyat Sabah yang berasa dirinya tidak menghormati masyarakat, budaya atau Gunung Kinabalu.

Beliau berkata, dia sama sekali tidak pernah berniat untuk tidak menghormati masyarakat Sabah, budaya mahupun gunung berkenaan.

Malah, katanya, masyarakat Sabah telah melayannya seperti salah seorang daripada mereka sendiri dan beliau hanya mempunyai kata-kata pujian terhadap rakyat negeri itu.

Persic turut menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menceroboh atau mengelak daripada membayar yuran kemasukan.

Sebaliknya, katanya, apa yang diinginkannya hanyalah meneroka keindahan Gunung Kinabalu selepas terpukau melihat keindahan gunung berkenaan, seperti yang pernah dilakukannya di pelbagai tempat di seluruh dunia.

“Saya melakukannya secara spontan tanpa memikirkan dan mempertimbangkan perkara itu dengan secukupnya. Atas kesilapan tersebut, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang perjalanannya, beliau menghormati alam sekitar dengan tidak meninggalkan sebarang kesan.

Persic berkata, beliau juga tidak mendaki ke puncak-puncak utama sebagai tanda menghormati nilai dan makna suci Gunung Kinabalu kepada masyarakat Kadazan-Dusun.

Lebih menarik, pengalaman itu turut mengubah cara Persic melihat konsep ‘menakluki’ sesebuah gunung.

Katanya, beliau tidak pernah menganggap dirinya menakluki Gunung Kinabalu, begitu juga mana-mana gunung lain.

“Kita mungkin hanya menghabiskan seketika masa di sesuatu puncak, tetapi gunung itu akan terus kekal di situ lama selepas kita tiada.

“Lagipun, mengapa kita perlu menakluknya?” katanya. Perspektif itu mungkin menjadi antara perkara paling menarik daripada keseluruhan kisah Persic.

Kerana di sebalik kontroversi mengenai cara beliau memasuki kawasan gunung, gambar-gambar yang dirakamnya tetap memperlihatkan satu hakikat — Gunung Kinabalu mempunyai wajah yang jauh lebih luas daripada apa yang mampu dilihat dari satu sudut sahaja.

Ada keindahan yang terserlah pada batu-batu dan formasi alamnya, ada kesunyian yang hanya dapat dirasai jauh daripada laluan biasa, dan ada pemandangan yang mungkin selama ini tidak pernah sampai ke mata kebanyakan orang.

“Namun, keindahan itu datang bersama tanggungjawab. Gunung Kinabalu bukan sekadar kawasan rekreasi, tetapi kawasan yang mempunyai nilai alam sekitar dan kepentingan budaya yang perlu dihormati,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved