Di Sekitar Reruai TECNO MWC 2025 – AI Segalanya

TechnologyDigital
4 Mar 2025 • 6:40 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ekosistem peranti yang paling mesra berjaya dilakukan oleh Apple. Selepas sekian lama, akhirnya peranti Android mula menawarkan ekosistem pesaing. Samsung sudah ada, Oppo dengan O+, OnePlus dengan tablet dan jam mereka, Huawei juga ada menawarkan pengalaman seakan Apple, Honor juga sama dan terbaru di MWC Barcelona 2025 adalah oleh TECNO.

image is not available

Ekosistem TECNO AI ini dikatakan boleh digunakan bersama siri CAMON 40, laptop MEGABOOK S14, siri TECNO AI Glasses, SPARK Slim, TECNO PHANTOM Ultimate 2 dan juga PHANTOM V Fold2 5G Space Expedition Version. Walau bagaimanapun, dalam kemas kini akan datang peranti generasi lama terpilih TECNO turut akan menyokong ekosistem ini. TECNO turut menyatakan produk audio baharu mereka turut boleh digunakan bersama TECNO AI.

image is not available

image is not available

Selain ekosistem, TECNO turut memperlihatkan beberapa peranti konsep seperti panel belakang boleh ubah warna dan corak, panel belakang getah, panel belakang yang dibuat daripada kopi terpakai dan juga kelapa. Selain itu, peranti Phantom V Fold2 dengan panel belakang diperbuat daripada debu bulan turut diperlihatkan. Yang aneh adalah sebuah peranti Phantom V Flip2 dengan panel belakang cahaya gentian optik yang berubah corak mengikut tema peranti.

image is not available

Walau bagaimanapun, ia hanya konsep kerana siri CAMON 40 baharu tidak menggunakan kemasan ini. Bercakap mengenai CAMON 40, terdapat 4 peranti diperlihatkan iaitu CAMOn 40 Premier 5G, CAMON 40 Pro 5G, CAMON 40 Pro dan CAMON 40. Hanya dua model akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, namun masih tidak pasti model mana satu.

image is not available

Siri CAMON 40 turut hadir dengan butang fizikal untuk AI, seakan Action Button pada iPhone 15 Pro ke atas. Butang ini boleh menyeru Ella Voice yang dikuasakan ChatGPT, DeepSeek, Gemini dan TECNO AI. Butang ini turut menyokong mod fotografi khusus untuk di dalam air. Semua CAMON 40 turut mempunyai ciri kamera khas One Tap Flash Snap yang boleh mengambil gambar bergerak pantas dengan butiran yang dipelihara sangat baik serta jelas.

image is not available

Kaca mata AI iaitu siri TECNO AI Glasses adalah jawapan mereka kepada Meta Ray-Ban yang semakin popular. Model asas mempunyai kamera, speaker dan penggunaan AI asas seperti penterjemahan masa nyata. Sementara TECNO AI Glasses Pro pula hadir dengan lensa yang mempunyai skrin terbina. Namun begitu, ia masih konsep dan tidak pasti bila akan berubah menjadi realiti.

image is not available

Di MWC 2025, TECNO turut memperlihatkan laptop MEGABOOK K15S dan MEGABOOK T14 Air. Kedua-dua laptop ini akan mempunyai pembantu maya digital baharu Ella Voice. Ia adalah lebih maju berbanding pada telefon pintar mereka. Salah satu model MEGABOOK akan mempunyai skrin OLED 2.8K dan dilengkapi dengan ciri AI generatif baharu. Ciri AI ini adalah untuk produktiviti dan akan mesra digunakan dengan ekosistem baharu TECNO. Namun, penawaran laptop mungkin tidak dikembangkan ke pasaran Malaysia.

image is not available

Produk-produk yang boleh digunakan bersama ekosistem ini akan dilancarkan pada esok hari. Berdasarkan perbualan kami dan wakil TECNO. TECNO berharap mereka akan lebih dikenali ramai selepas acara MWC Barcelona 2025 ini. Apa kata anda?