
KUALA LUMPUR: Pelakon, Yasmin Hani menyifatkan aktor muda, Zarif Ghazzi sebagai seorang individu yang sopan, baik dan sentiasa menjaga batas pergaulan sepanjang mereka bekerjasama dalam siri dan filem Kudrat 1968: High Council.
Menurut Yasmin, meskipun Zarif, 22, lebih banyak meluangkan masa bersama kelompok pelakon lelaki ketika di lokasi penggambaran, dia menyedari aktor itu sentiasa menjaga adab dan batas pergaulan, terutama ketika mengikuti siri jelajah.
“Ketika di set, saya tidak banyak berjumpa dengannya kerana dia lebih banyak bersama kumpulan lelaki. Mereka tidak begitu bergaul dengan kami. Pelakon veteran pula lebih banyak bersama kelompok masing-masing.
“Namun, ketika siri jelajah, saya lihat dia ada sempadan dan menjaga halal gap. Dia juga sangat sopan dan baik. Kalau hendak melambai pun gayanya seperti Miss World,” katanya kepada Gempak.
Yasmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis Malam Nona Gala Awards yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, pelakon berusia 47 tahun itu turut menitipkan nasihat kepada Zarif supaya mengelak daripada membaca komen netizen buat sementara waktu bagi menjaga kesihatan mentalnya.
Menurut Yasmin, situasi yang dihadapi Zarif berbeza dengan pengalamannya ketika mula-mula mencipta nama dalam industri seni, memandangkan pengaruh media sosial ketika ini menjadikan sesuatu isu lebih cepat mendapat perhatian ramai.
“Saya juga pernah berdepan isu, tetapi tidaklah sebesar ini. Mungkin kerana nama dia sangat besar sekarang.
“Berbeza dengan zaman sekarang yang dipengaruhi media sosial. Harapnya isu ini dapat diselesaikan. Buat masa ini, dia perlu bertenang dan jangan membaca komen-komen.
“Jika ada pengurus atau wakil yang menguruskan perkara itu, biarlah mereka yang memaklumkan perkembangan semasa. Selain itu, tidak perlu membaca komen demi kesihatan mental sendiri. Terlalu banyak perkara untuk diketahui,” ujarnya.
Terdahulu, pihak pengurusan Zarif menafikan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan artis berkenaan, selain menegaskan bahawa Zarif sentiasa mengutamakan profesionalisme dan integriti dalam kerjayanya.
Pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat, manakala wakil peguam dilantik bagi meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian berhubung isu terbabit.
Mereka juga menyeru masyarakat dan pihak media supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi sehingga boleh menjejaskan reputasi individu terlibat, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
The post Dia baik dan sopan, Yasmin Hani puji sikap Zarif Ghazzi appeared first on Utusan Malaysia.






