'Dia berani naik helikopter demi pesakit' – Bapa kenang impian Dr Ainul mahu jadi doktor pakar

LocalHealth & Fitness
9 Sep 2026 • 9:01 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Dia berani naik helikopter demi pesakit' – Bapa kenang impian Dr Ainul mahu jadi doktor pakar

KALAU orang lain mungkin berasa gentar setiap kali perlu menaiki helikopter, perkara itu seolah-olah tidak pernah menjadi masalah buat Dr Ainul Baraah Kamaruddin.

Buat doktor Wanita berusia 33 tahun itu, perjalanan ke kawasan pedalaman bukan sekadar soal bagaimana mahu sampai ke sesuatu destinasi, tetapi sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk menemui pesakit yang menanti.

Sebab itu, bapanya, Kamaruddin Salleh, 69, cukup mengenali semangat anak keempat daripada lima beradik itu yang tidak pernah berkira apabila melibatkan tugas dan khidmat kepada masyarakat.

“Dia berani, katanya demi berkhidmat kepada pesakit. Itulah Dr Ainul, dia seorang yang bersemangat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Semangat itulah yang dibawa Dr Ainul sepanjang kira-kira dua tahun berkhidmat di Sarawak, termasuk perlu menaiki helikopter untuk ke kawasan pedalaman bagi memberikan rawatan perubatan kepada pesakit.

Biarpun tugas berkenaan menuntut keberanian dan kesanggupan untuk berjauhan daripada keluarga, Kamaruddin berkata anaknya tidak pernah mengeluh sepanjang berada di sana.

Image from: 'Dia berani naik helikopter demi pesakit' – Bapa kenang impian Dr Ainul mahu jadi doktor pakar

Cita-cita sejak kecil jadi kenyataan

Sejak kecil lagi, Dr Ainul sudah menyimpan impian untuk bergelar seorang doktor.

Cita-cita itu akhirnya direalisasikan apabila beliau memilih bidang perubatan dan terus memberikan khidmat kepada masyarakat.

Sebelum berkhidmat di Sarawak, Dr Ainul pernah bertugas di Hospital Tanah Merah, Kelantan selama dua tahun.

Kemudian, beliau meneruskan khidmatnya di Hospital Miri, Sarawak selama dua tahun dan antara tugas yang perlu dilaksanakan adalah memberikan rawatan kepada pesakit di kawasan pedalaman.

Menurut Kamaruddin, anaknya pernah bercerita mengenai ada doktor yang tidak berani menaiki helikopter kerana berasa takut.

Namun, bagi Dr Ainul, perkara itu tidak menjadi penghalang untuk melaksanakan tugas.

“Dia ada bercerita pada kami, ada doktor yang tidak berani naik helikopter kerana takut.

“Tapi dia berani, katanya demi berkhidmat kepada pesakit dan semasa kejadian tadi saya terdetik juga dalam hati, kenapa dia naik juga kalau dah tahu helikopter itu sering rosak.

“Tapi itulah Dr Ainul, dia seorang yang bersemangat,” katanya.

Kata-kata itu kini menjadi antara kenangan yang cukup dekat di hati Kamaruddin ketika mengenang anaknya yang menjadi antara lima mangsa korban nahas helikopter yang dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak.

Image from: 'Dia berani naik helikopter demi pesakit' – Bapa kenang impian Dr Ainul mahu jadi doktor pakar

Impian bergelar doktor pakar

Di sebalik kesungguhan membina kerjaya sebagai seorang doktor, Dr Ainul sebenarnya masih menyimpan satu lagi impian.

Kamaruddin berkata, anaknya itu ada menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajian dan menjadi doktor pakar. Lebih memilukan, perkara tersebut menjadi antara perbualan terakhir mereka.

“Dr Ainul ada menyuarakan hasratnya untuk menyambung pengajian dan menjadi doktor pakar. Itulah perbualan terakhir kami.

“Sebagai bapa saya menyokong hasrat itu dan memaklumkan kepadanya supaya mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu,” ujarnya.

Keluarga mereka juga cukup gembira apabila mengetahui perancangan arwah untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar di Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.

Sebagai ayah, sekiranya hasrat itu berjaya direalisasikan, anaknya itu berpeluang kembali berkhidmat di Kelantan, lebih dekat dengan keluarga.

“Kami gembira apabila mengetahui perancangannya untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

“Jika berjaya, dapatlah dia pulang berkhidmat di Kelantan,” katanya.

Tiga tahun bergelar isteri

Dalam pada sibuk membina kerjaya, Dr Ainul sebenarnya sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu bersama Muhammad Faiz Abdul Malik, 37. Namun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Bagi keluarga, kehilangan Dr Ainul bukan sekadar pemergian seorang anak perempuan, sebaliknya seorang insan yang banyak mencurahkan tenaga dan masa untuk membantu masyarakat menerusi profesion yang dipilihnya.

Image from: 'Dia berani naik helikopter demi pesakit' – Bapa kenang impian Dr Ainul mahu jadi doktor pakar

Kongsi si ayah lagi, mereka sekeluarga sentiasa mendoakan yang terbaik buat Dr Ainul dan bangga dengan dedikasinya sebagai seorang doktor.

“Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dan bangga dengan dedikasinya sebagai seorang doktor yang berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Berkongsi lanjut tentang anaknya itu, Allahyarham sudah dua tahun berkhidmat di Sarawak dan sebelum itu pernah berkhidmat di Hospital Tanah Merah, Kelantan selama dua tahun.

Menyentuh mengenai urusan pengebumian anaknya, Kamaruddin memberitahu perkara itu masih belum dibincangkan.

Beliau perlu ke Sarawak terlebih dahulu untuk bertemu menantunya di sana sebelum berbincang mengenai perkara tersebut.

Lima mangsa disahkan meninggal dunia

Terdahulu, kesemua mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, pada Selasa disahkan meninggal dunia.

Borneo Post yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang sebagai berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu maut dalam nahas yang berlaku di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.

Kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Buat keluarga, Dr Ainul akan terus dikenang sebagai anak yang berani mengejar cita-cita, seorang isteri dan paling utama, doktor yang sanggup meredah cabaran perjalanan demi memberikan khidmat kepada mereka yang memerlukan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved