
KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio Hitz FM, Ili Ruzana mendedahkan keputusan meninggalkan stesen radio berkenaan dibuat atas kehendak sendiri selepas hampir sembilan tahun membina kerjaya dalam bidang penyiaran.
Ili berkata, dia sendiri meminta pihak Hitz FM membenarkannya meninggalkan stesen berkenaan lebih awal dan permintaannya itu mendapat persetujuan kerana pihak pengurusan menghormati keputusannya serta mahukan yang terbaik buat dirinya.
“Sekarang, saya mahu anda tahu bahawa saya memang mahu meninggalkan Hitz. Itu pilihan saya. Saya sendiri bertanya kepada pihak Hitz sama ada saya boleh meninggalkan stesen lebih awal dan kerana mereka menghormati saya serta mahukan yang terbaik untuk saya, mereka membenarkannya.
“Namun, sejujurnya, kalau diri saya ketika berusia 13 tahun berada di sini dan mendengar saya berkata bahawa saya mahu meninggalkan dunia radio secara sukarela, dia pasti terkejut. Dia pasti sedih kerana tahu betapa saya mencintai dunia radio dan betapa kuatnya saya berusaha untuk sampai ke tahap ini.
“Jadi, apabila saya membuat keputusan untuk meninggalkannya, ia agak pelik, tetapi saya sangat bersyukur dengan pengalaman yang telah dilalui,”katanya.
Ili berkongsi perkara itu menerusi video yang dimuat naik di media sosial semalam.
Selain itu, Ili turut menjelaskan perjalanan sembilan tahunnya dalam dunia radio bermula di Fly FM pada 2017.
Menurutnya, dia menyertai pertandingan Flydol 2017 sebelum muncul sebagai pemenang dan seterusnya diberi peluang mengendalikan rancangan malam pertamanya pada September tahun sama.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang radio pada 2017 di sebuah stesen radio bernama Fly FM. Saya menyertai Flydol 2017, memenanginya dan mula mengendalikan rancangan malam pertama saya pada September 2017.
“Saya melakukan tugas itu untuk beberapa ketika sebelum menyertai rancangan waktu pagi bersama RDMBK. Selepas itu, saya bersama Douglas Lim selama kira-kira dua bulan sebelum meninggalkan stesen tersebut untuk menyertai Hitz bagi mengendalikan Hitz Tonight.
“Selepas beberapa ketika, saya kemudian diberi peluang menyertai pasukan rancangan pagi Hitz. Semua itu berlaku dalam tempoh sembilan tahun. Boleh percaya?” katanya.
Mengulas mengenai kehidupannya selepas meninggalkan dunia radio, Ili berkata dia kini berada pada tahap paling bahagia dalam hidupnya dan memberi bayangan bahawa peminat masih berpeluang melihatnya menerusi beberapa projek lain.
“Namun, saya cuma mahu anda tahu bahawa saya berada pada tahap paling bahagia dalam hidup saya. Jika anda masih mahu mendengar saya berceloteh dan berkongsi pandangan yang tidak popular, serta menonton Rindu Rasa Ibu musim kedua, anda masih boleh melakukannya di sini.
“Jangan risau mengenainya. Saya cuma tidak sabar untuk anda bersama saya dalam bab baharu kehidupan ini. Banyak lagi perkara menarik akan datang dan saya rasa anda semua belum bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, Ili turut menepis secara berseloroh persoalan mengenai ‘rahsia’ di sebalik keputusannya meninggalkan Hitz FM, selepas sebelum ini memberi bayangan seolah-olah bakal mendedahkan sesuatu.
“Saya pasti anda tertanya-tanya, ‘Ili, mana ceritanya? Bukankah awak kata mahu mendedahkan sesuatu?’ Ayuhlah, anda semua sudah cukup mengenali saya untuk tahu bahawa saya tidak akan berbuat demikian.
“Itulah cara kami di radio. Kami mengusik anda dan membuatkan anda tertanya-tanya, dan sekarang anda sudah berada di sini. Maaf, tetapi itu adalah umpan radio terakhir saya untuk anda,” katanya.
Ili pada masa sama merakamkan penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan kepadanya sejak awal pembabitan dalam bidang penyiaran.
“Saya benar-benar mahu mengatakan bahawa saya sangat menyayangi anda semua, khususnya pengikut yang sudah mengikuti saya sejak hari pertama sehingga sekarang. Terima kasih banyak kerana sentiasa berada di belakang saya.
“Saya rasa tidak kira apa sahaja yang saya lakukan selepas ini, anda akan sentiasa menyokong saya dan sentiasa berada di belakang saya. Saya sangat, sangat bersyukur kerana mempunyai anda semua,” katanya.
The post ‘Dia’ pasti sedih kerana tahu betapa saya mencintai dunia radio – Ili Ruzana appeared first on Utusan Malaysia.





