TAPAH – Perasaan sedih bercampur gembira dirasai dua penduduk Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu apabila secara kebetulan menemui pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49.
Nazri Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, berkata, mereka tidak menyangka penemuan itu berlaku ketika keluar memancing di kawasan berkenaan.
Menurut Nazri, meskipun maklum akan kehilangan wanita tersebut, namun tidak menjangkakan bertemu mangsa memandangkan mereka bukan sebahagian daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi sejak lebih dua minggu lalu.
“Memang kebetulan. Kami bukan pasukan SAR, cuma keluar memancing dan ternampak dia.
“Ramai yang mencari, tapi tak tahu macam mana kami pula yang jumpa. Saya rasa gembira dan puas hati dapat bantu,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, ketika ditemui, Jaslinda masih memakai pakaian mendaki lengkap bersama tudung dan kasut, selain memegang tongkat hiking sebagai sokongan.
Katanya, mangsa turut membawa sebuah beg kecil yang berisi cendawan dan daun hutan.
“Cendawan itu beracun, tetapi dia tidak makan. Dalam beg juga ada daun yang kami panggil ‘asam batu’ yang boleh dimakan.
“Nasib baik dia tidak makan cendawan itu,” katanya.
**media[3543383]**
Tambahnya, Jaslinda turut membawa dua botol air yang dipercayai diambil daripada sumber air di dalam hutan walaupun keadaannya agak keruh.
“Mungkin dia minum air hutan atau daripada tumbuhan seperti periuk kera untuk terus bertahan,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri berkata, penduduk kampung turut membantu sebaik sahaja mangsa ditemui sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Pada Sabtu, Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat selepas dilihat berjalan seorang diri di atas jambatan di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh, di sini.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah berkata, kampung tersebut mempunyai lebih 100 keluarga Orang Asli kaum Semai yang bergantung kepada laluan hutan untuk aktiviti harian.
Menurutnya, jambatan kayu sepanjang kira-kira 50 meter yang menjadi lokasi penemuan Jaslinda itu dibina secara gotong-royong oleh penduduk.
“Jambatan kayu ini nampak uzur kerana sudah berusia lebih dua tahun, namun masih boleh digunakan dan menjadi laluan utama untuk ke kebun dan mencari hasil hutan.
“Dulu penduduk perlu menyeberangi sungai, tetapi dengan adanya jambatan ini, urusan harian menjadi lebih mudah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jaslinda ditemui lemah, dia menangis minta tolong'
Jaslinda ditemui oleh Orang Asli, berada di rumah Tok Batin - Bomba
'Terima kasih, minta maaf menyusahkan rakyat Malaysia' - Jaslinda
'Saya tak makan dua minggu, hanya minum air hitam, coklat' - Jaslinda
'Saya jatuh berkali-kali, bergelut pada waktu malam' - Jaslinda
Saya tahu orang rumah saya kuat - Suami Jaslinda




