MELAKA - Seorang pemandu lori yang baharu selesai menjalankan tugasan membuang sampah di pusat pelupusan sisa pepejal sanitari Sungai Udang di sini meninggal dunia selepas rebah di dalam kenderaannya pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, kejadian disedari pekerja lain selepas melihat mangsa dalam keadaan kesakitan seperti terkena sawan ketika berhenti di tepi jalan berhampiran lokasi pembuangan tersebut.
Rakan sekerja mangsa, Mohamed Rafiq Sulaiman, 45 berkata, sebelum kejadian mangsa sempat menghantar gambar sebagai bukti selesai tugasan ke grup WhatsApp syarikat.
“Dia lepas buang sampah, kemudian duduk dalam lori. Lebih kurang jam 1.20 petang, dia hantar gambar dalam grup kerja yang menunjukkan dia sudah selesai membuang sampah.
**media[3618972]**
“Selepas itu, dia tiba-tiba terkulai di atas stereng. Pada awalnya orang ingat dia kena sawan, tetapi kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, melihat situasi itu, beberapa orang yang berada di lokasi mengeluarkan mangsa dari lori dan membaringkannya di bawah, namun ketika itu mangsa dipercayai sudah meninggal dunia.
Katanya, mangsa yang berusia sekitar 45 hingga 46 tahun itu sudah hampir setahun bekerja dengan syarikat berkenaan dan dikenali sebagai seorang yang baik serta tidak merokok.
**media[3618970]**
Bercerita lanjut, katanya, mangsa pernah mengambil cuti sakit kira-kira dua minggu lalu selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas.
“Dia memang ada minta cuti sebab katanya susah bernafas. Lepas itu dia pergi mendapatkan rawatan dan mengambil ubat sebelum kembali bekerja.
“Namun, hari ini tiada tanda-tanda apa-apa. Dia sempat menjalankan tugasan seperti biasa sebelum kejadian,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa adalah pada Sabtu lalu, manakala pagi tadi mangsa ada datang ke cawangan syarikat di Malim sebelum meneruskan tugasan.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada polis bagi mengesahkan kejadian berkenaan.



