Penunggang rentung, motosikal terbakar selepas rempuh lori terbabas

14 Aug 2026 • 11:29 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang rentung, motosikal terbakar selepas rempuh lori terbabas
Akibat rempuhan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terbakar seluruh badan.
Image from: Penunggang rentung, motosikal terbakar selepas rempuh lori terbabas
Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

​DUNGUN - Seorang penunggang motosikal jenis Zontes rentung selepas kenderaan yang ditungganginya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 357, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) arah Kuala Terengganu ke Kuantan, berhampiran Bukit Besi, awal pagi Jumaat.

​Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan sebuah lori jenis Hino dan motosikal jenis Zontes itu kira-kira jam 5.30 pagi daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

​Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi sewaktu kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dari arah yang sama iaitu dari Bukit Besi menghala ke Kuantan.

​"Apabila sampai di lokasi kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun telah terbabas lalu melanggar bahu jalan.

​"Tiba-tiba datang motosikal mangsa dari arah belakang dan melanggar lori berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

**media[3614660]**

​Mengulas lanjut, Nik Ab Halim berkata, akibat rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terbakar seluruh badan.

​Tambah beliau, kemalangan tersebut turut menyebabkan motosikal jenis Zontes berkenaan rosak keseluruhan akibat terbakar, manakala lori terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan serta terbakar di bahagian belakang sebelah kiri.

​"Pemandu lori yang bekerja dengan syarikat kurier dan berasal dari Pekan, Pahang itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

​Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

" Setakat ini, punca kematian mangsa masih dalam siasatan, "ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved