
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) khususnya melibatkan pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih menjadi bualan hingga kini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dikritik dari dua penjuru iaitu yang menolak UEC dan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menzahirkan rasa kecewa dan menyifatkan dasar tersebut gagal memenuhi kesaksamaan pendidikan.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Pelik Kenapa Ada Yang Bantah?” – Anthony Loke Bidas Pihak Bangkang Akses Pelajar UEC Ke IPTA
Dasar Kemasukan Ke IPTA Masih Berpaksi Pada SPM
Terbaharu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan asas kemasukan ke IPTA masih berpaksikan SPM meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan.
Jelas beliau, keputusan tersebut telah dimuktamadkan di peringkat Jemaah Menteri serta menjadi asas utama kemasukan pelajar ke IPTA menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online.
“Selagi saya jadi menteri, saya tidak akan benarkan pendidikan tanpa ada asas SPM.
“Tidak kiralah ada yang belajar di sekolah ini ke sekolah itu ke, asasnya nak masuk ke UPU tetap perlu ada SPM,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
SPM Jadi Asas Utama Kemasukan Ke IPTA
Terang beliau, sistem pendidikan di Malaysia mempunyai struktur yang jelas namun berbeza peranan di mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menguruskan sekolah manakala KPT mengendalikan kemasukan ke universiti.
Tambahnya, fungsi-fungsi ini perlu difahami agar tidak timbul kekeliruan khususnya mengenai dasar kemasukan pelajar ke IPTA.
“Unit Pusat Universiti (UPU) Online dibangunkan pula dengan asas penilaian yang standard bagi memastikan semua pelajar dinilai secara adil berdasarkan keputusan SPM.
“Kerajaan tidak akan membuka ruang kemasukan ke IPTA berdasarkan sijil atau kelayakan alternatif lain selain SPM sebagai asas utama,” jelasnya.
Tolak Dakwaan Wujud Diskriminasi, Beri Peluang Masuk Ke IPTA Asalkan Ada SPM
Pada masa yang sama, Zambry turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang dasar berkenaan bersifat diskriminasi terhadap mana-mana aliran pendidikan termasuk sekolah agama serta pondok.
Ini kerana jelasnya, semua pelajar tanpa mengira latar belakang digalakkan menduduki SPM untuk melayakkan diri ke IPTA.
“Kita tidak mendiskriminasi mereka kerana pelajar sekolah pondok dan sekolah agama juga digalakkan untuk mengambil SPM bagi tujuan melanjutkan ke IPTA,” katanya.
Terang beliau lagi, terdapat salah faham dalam kalangan pihak tertentu yang menganggap dasar tersebut tidak adil khususnya kepada aliran tertentu.
Ini kerana jelasnya sistem yang diamalkan adalah berbeza dan tidak sepatutnya pihak terbabit membuat perbandingan secara langsung dengan sistem sekolah dan universiti.
Tambah Zambry, dia turut merujuk penjelasan beliau sebelum ini bahawa pelajar sekolah agama juga diberi peluang untuk menyambung pengajian jika memenuhi syarat asas yang ditetapkan.
Kerajaan Tak Akan Tunduk Pada Tekanan Ubah Syarat Asas Kemasukan Ke IPTA
Pada masa sama, Zambri menegaskan kerajaan tidak akan tunduk pada tekanan mana-mana pihak yang mahu mengubah syarat asas kemasukan ke IPTA bagi kepentingan mereka.
“Kalau nak suruh ubah untuk kepentingan mereka, ‘no way’. Dia yang perlu sesuaikan dengan sistem pendidikan kita,” jelasnya.
Terang beliau, SPM bukan sahaja menjadi penanda aras dalam akademik malah ia memastikan keseragaman dalam proses pemilihan pelajar ke universiti awam.
Apatah lagi, sistem itu telah lama digunakan dan terbukti membantu memastikan proses kemasukan pelajar dilakukan secara tersusun dan telus.
Baca Artikel Berkaitan: UEC: “Jangan Sampai Ibarat Menyusu Kera Di Hutan” – Prof Teo Gesa Kerajaan Utamakan Pelajar Sistem Kebangsaan
Baca Artikel Berkaitan: Lepasan Tahfiz & UEC Berpeluang Masuk Program Pengajian Tertentu Di IPTA – KPT






