PRN Johor tiada kaitan pembebasan Najib - Onn Hafiz

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 8:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor tiada kaitan pembebasan Najib - Onn Hafiz
Onn Hafiz (tengah) pada Program Kasi On bersama MB Johor di Homestay Tok Marwan Semerah pada Isnin.
Image from: PRN Johor tiada kaitan pembebasan Najib - Onn Hafiz
Onn Hafiz

BATU PAHAT - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu pembebasanDatuk Seri Najib Tun Razak.

Onn Hafiz berkata, dakwaan yang mengaitkan PRN dengan isu berkenaan adalah satu bentuk hasutan yang bertujuan menimbulkan kemarahan dan kebencian terhadap BN.

Beliau yakin rakyat Johor mampu menilai sesuatu isu dengan matang dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif sedemikian.

"Tapi bangsa Johor tak begitu. Kita lebih cerdik daripada apa yang mereka fikirkan.

"Semakin kuat naratif itu dimainkan, lagi ramai orang tak percaya kepada mereka," katanya.

Beliau ditemui pada Program Kasi On bersama MB Johor di Homestay Tok Marwan Semerah di sini pada Isnin.

**media[3573469]**

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Jelajah Johor Ke Depan di Tangkak, Johor pada malam Ahad mendakwa PRN Johor diadakan awal semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa demi membebaskan Najib.

Menurut beliau, PH terpaksa berdepan pilihan raya itu bagi memastikan kestabilan negara dapat dikekalkan selain meneruskan kerjasama baik antara kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, taktik menghasut dan membuat pelbagai janji merupakan strategi yang sering digunakan pembangkang setiap kali pilihan raya.

"Bagi saya, itulah cara mereka daripada dulu, menghasut, menghasut, menghasut dan menjanjikan bulan bintang. Itu strategi mereka daripada dulu dan itulah mentaliti pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, rakyat khususnya golongan muda tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Menurutnya, ketika itu ramai pengundi muda didakwa terpengaruh dengan pelbagai janji yang ditawarkan pembangkang.

"Kita tak nak apa yang berlaku pada 2018 berulang sekali lagi, apabila ramai anak muda terpengaruh dengan janji bulan bintang seperti PTPTN percuma, harga minyak nak turun dan macam-macam lagi.

"Sebab itu peranan kita sebagai ibu bapa penting untuk menasihati anak-anak. Memang mereka boleh buat keputusan sendiri, tetapi kadang-kadang sebagai anak muda, ramai yang terpengaruh dengan hasutan dan juga janji-janji manis," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved