![Image from: Dicky Tunai Janji, Infaq RM3k Kepada Abang Minyak Hitam Jalanan Namun Disuruh Simpan Untuk Anak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/abang-minyak-hitam-jalanan-Dicky-Yau.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kisah di antara mekanik popular, Abang Minyak Hitam Jalanan yang membantu seorang pemuda berbangsa Cina, Dicky Yau nyata menyentuh hati ramai.
Manakan tidak, mekanik yang juga dikenali sebagai Abang Usop dilihat ikhlas dalam menghulurkan pertolongan kepada Dicky yang merupakan bapa tunggal anak satu di saat dia dalam keadaan memerlukan.
Bukan hanya orang ramai malah kisah itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan yang menyifatkan ia adalah satu bentuk dakwah.
Malah, Dicky dalam satu siaran langsung (live) di TikTok miliknya menjelaskan dia mahu membalas semula jasa Abang Minyak Hitam Jalanan serta berkongsi rezeki yang diperolehinya hasil daripada live yang dibuat.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Kisah Bantu Baiki Motosikal Tanpa Kenakan Bayaran: Menteri Agama Sifatkan Ia Dakwah Dengan Akhlak
Dicky Berjaya Peroleh RM5,000, Beri RM3,000 Kepada Abang Minyak Hitam Jalanan
Terbaharu, Dicky yang berasal dari Tawau, Sabah itu akhirnya menunaikan janji untuk memberi wang hasil dari live sebanyak RM5,000 kepada mekanik tular itu.
Perkara tersebut dikongsikan oleh mekanik berkenaan dalam satu hantaran di Facebook miliknya semalam (21 April).
Kongsi Abang Minyak Hitam Jalanan, Dicky telah menghubunginya untuk menyerahkan wang berjumlah RM3,000 bagi membantu mereka yang memerlukan manakala bakinya akan digunakan untuk keperluan sekolah anak Dicky sendiri.
Namun, mekanik tersebut enggan menerima pemberian itu dan meminta agar Dicky menggunakan keseluruhan wang tersebut untuk anaknya.
Pun begitu, Dicky tetap berkeras mahu berjumpa dan meminta mekanik berkenaan untuk berkongsi lokasi yang sesuai bagi pertemuan itu.
Abang Minyak Hitam Jalanan Infaq Semula Wang Kepada Dicky
Mekanik berkenaan kemudiannya bersetuju untuk berjumpa dan menerima wang dari Dicky.
Menerusi video yang dikongsikan di Facebook, kedengaran Dicky menjelaskan wang tersebut diinfaq kepada Abang Minyak Hitam Jalanan agar lebih ramai dapat dibantu.
Namun sebaik menerima wang tersebut, mekanik itu pula menginfaqkan semula wang itu kepada Dicky bagi keperluan anaknya.
Melalui video yang dikongsikan, dapat dilihat kedua-dua mereka saling tolak-menolak dan berkeras dengan pendapat masing-masing sebelum Abang Minyak Hitam Jalanan tetap dengan pendirian dan mengingatkan Dicky agar wang tersebut digunakan untuk anaknya.
“Duit gift yang abang ni dapat, saya infaq balik kepada abang ni. Jangan, you sekolah anak. Ambil. You ada anak. Saya tolong you ikhlas, kerana Allah Ta’ala tau,” kata mekanik itu sambil memeluk Dicky.
Terang Abang Minyak Hitam Jalanan, dia memberikan semula wang tersebut agar Dicky dapat menggunakan duit untuk membeli keperluan sekolah anaknya.
“Duit ini saya bagi dekat abang ni sebab apa, anak abang ni nak sekolah. Saya infaq balik duit ini dekat dia untuk dia teruskan hidup dia.
“Saya tak ambil kesempatan, saya memang niat tolong abang ni dengan tulus ikhlas,” katanya lagi.
Pertemuan Abang Minyak Hitam Jalanan & Dicky Sentuh Hati Ramai
Video yang telah mendapat lebih 2.8 juta tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tersentuh dengan pertemuan di antara Dicky dan Abang Minyak Hitam Jalanan lebih-lebih lagi di saat mekanik itu meminta pemuda terbabit menggunakan wang tersebut untuk anaknya.
Pada masa yang sama, ramai kagum dengan keperibadian Dicky serta Abang Minyak Hitam Jalanan yang masing-masing dilihat baik dan ikhlas antara satu sama lain.
Ini antara komen menarik pengguna Facebook:
“Orang Baik Bertemu Dengan Orang Baik”
![Image from: Dicky Tunai Janji, Infaq RM3k Kepada Abang Minyak Hitam Jalanan Namun Disuruh Simpan Untuk Anak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/abang-minyak-hitam-jalanan_netizen_1.jpg)
“Jujur & Ikhlas Kedua-Duanya. Semoga Kamu Berdua Terus Bersahabat, Terus Menginspirasikan Rakyat Malaysia”
![Image from: Dicky Tunai Janji, Infaq RM3k Kepada Abang Minyak Hitam Jalanan Namun Disuruh Simpan Untuk Anak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/abang-minyak-hitam-jalanan_netizen_3.jpg)
“Nangis Saya Tengok Ni”
![Image from: Dicky Tunai Janji, Infaq RM3k Kepada Abang Minyak Hitam Jalanan Namun Disuruh Simpan Untuk Anak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/abang-minyak-hitam-jalanan_netizen_4.jpg)
Baca Artikel Berkaitan: Tular Kisah Bantu Baiki Motosikal Tanpa Kenakan Bayaran: Menteri Agama Sifatkan Ia Dakwah Dengan Akhlak
Baca Artikel Berkaitan: Tular Kisah Dibantu Abang Minyak Hitam Jalanan, Ramai Mahu Turun Jumpa Dicky [Video]
