
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang disiasat kerana disyaki menyamar sebagai pembantu peribadi kepada Raja Muda Selangor mengaku bersalah atas enam pertuduhan menipu membabitkan urusan jual beli hartanah dan kenderaan mewah bernilai RM185,000.
Daripada enam pertuduhan itu, Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan terhadap lelaki berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu seorang selebriti lelaki dalam urusan pembelian hartanah yang tidak wujud.
Tertuduh, Al Zulfadly Alias, 40, dijatuhi hukuman oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid yang turut memerintahkan hukuman penjara itu dikira bermula dari tarikh dia ditangkap 27 Oktober lalu.
Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memperdaya selebriti berkenaan sehingga mendorong mangsa membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM30,000 ke akaun bank milik Al Zulfadly di Wangsa Maju, masing-masing pada 10 dan 12 Mei 2024.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, Al Zulfadly turut mengaku bersalah terhadap empat lagi pertuduhan menipu seorang doktor wanita membabitkan wang berjumlah RM155,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi urusan hartanah di Eco Ardence serta penjualan sebuah kenderaan mewah jenis Lexus LM 500h.
Mangsa membuat empat transaksi pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM45,000, RM20,000, RM45,000 dan RM45,000 ke akaun bank tertuduh antara 2 hingga 19 Julai tahun ini.
Hakim Norma Ismail menetapkan Selasa ini bagi pembentangan fakta kes dan prosiding hukuman terhadap Al Zulfadly.
Nurul Nur Syahirah turut mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan berkenaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kesemua enam pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham dan Batrisyia Mohd Khusri bagi prosiding berkenaan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes membabitkan tertuduh wanita. - Getaran, 16 November 2026






