Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara setahun, dua sebatan

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 3:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara setahun, dua sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai pegawai pengiring Raja Muda Selangor dipenjara satu tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menipu berhubung pembelian aset hartanah, dua tahun lalu.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Al Zulfadly Alias, 40, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 27 Oktober lalu.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, yang juga tunang kepada Al Zulfadly mengaku tidak bersalah terhadap perbuatan serupa.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa memperdaya seorang selebriti lelaki berhubung tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong pemindahan wang masing-masing berjumlah RM20,000 dan RM10,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Wangsa Delima 11, Wangsa Maju, di sini, pada 10 dan 12 Mei 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara satu dan 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham mencadangkan hukuman setimpal bagi Al Zulfadly manakala Nurul Nur Syahirah dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Al Zulfadly yang diwakili peguam bela, Mohd Ridzwan Warisi memohon agar dikenakan hukuman penjara minimum atas alasan perlu menanggung ibu.

Peguam bela, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Nurul Nur Syahirah pula merayu jaminan rendah mengambil kira anak guamnya yang tidak bekerja itu mempunyai tanggungan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Nur Syahirah diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 16 Disember ini.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, terdapat 15 kes penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pegawai pengiring (ADC) kepada Raja Muda Selangor berkaitan urusan jual beli kenderaan dan hartanah tidak wujud.

Kesemua kes tersebut adalah sebahagian daripada 17 laporan yang diterima berkaitan penyalahgunaan gambar Tengku Amir Shah dan penyamaran sebagai wakil baginda untuk meraih kepercayaan.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 27 kes dikesan di seluruh negara yang melibatkan kerugian mencecah RM1.4 juta didalangi oleh dua suspek utama iaitu seorang lelaki dan wanita tempatan. – UTUSAN

The post Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara setahun, dua sebatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved