Tipu selebriti: Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara setahun, dua sebatan

16 Nov 2026 • 7:01 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Tipu selebriti: Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara setahun, dua sebatan

Seorang lelaki yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang selebriti berhubung pembelian hartanah.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Zulfadly Alias, 40, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 27 Okt lepas.

Seorang lagi tertuduh yang juga tunang Al Zulfadly, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut dua pertuduhan itu, kedua-duanya yang juga penganggur didakwa menipu seorang selebriti lelaki berusia 35 tahun berkaitan tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM30,000 melalui dua pindahan kredit ke dalam akaun bank milik Al Zulfadly di Jalan Wangsa Delima 11, Wangsa Maju pada 10 dan 12 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Al Zulfadly manakala Nurul Nur Syahirah ditawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Ridzwan Warisi yang mewakili Al Zulfadly memohon anak guamnya dikenakan penjara minimum dari tarikh tangkapan kerana menanggung ibu serta pengakuan salahnya telah menjimatkan masa mahkamah.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Nurul Nur Syahirah pula memohon jaminan minimum kerana anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung ibu bapanya.

“Anak guam saya telah didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dengan satu pertuduhan pada Khamis lepas dan mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 manakala Jumaat lepas, tertuduh didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang dan mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali. 

“Bapa tertuduh yang juga pesara telah membayar jaminan bagi kedua-dua kes itu. Sebentar tadi, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dibenarkan jaminan RM15,000. Oleh itu, saya mohon jaminan yang minimum,” kata Shah Rizal.

Mahkamah kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, Al Zulfadly turut mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen di sini, manakala Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.

Hakim Norma Ismail menetapkan esok untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap Al Zulfadly serta membenarkan Nurul Nur Syahirah diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan wanita itu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pasangan itu didakwa menipu seorang doktor wanita berhubung tawaran aset hartanah di Eco Ardence serta sebuah kenderaan mewah jenis Lexus LM 500h sehingga mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM155,000 menerusi empat transaksi dalam talian ke akaun bank milik Al Zulfadly di Jalan Ampang, di sini, antara 2 hingga 19 Julai lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri.

Pada 12 Nov lepas, pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan menipu melibatkan urusan jual kenderaan lelong bernilai RM30,000 dan keesokan harinya, mereka didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan menipu melibatkan penjualan kenderaan lelong bernilai RM40,000.

Kes di Mahkamah Klang dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam dan kes itu akan disebut semula pada 20 Nov untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap Al Zulfadly selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved