
KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan yang didakwa menimbulkan kegusaran awam.
Pengakuan itu dibuat sebaik beliau didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Dr Akmal, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.
“Saya faham dan mengaku tidak bersalah. Saya mohon untuk dibicarakan,” katanya.
Beliau didakwa memuat naik kenyataan yang didakwa berunsur hasutan di akaun Facebook peribadi pada jam 3 petang, 11 Ogos lalu.
Kenyataan itu dikatakan berpotensi mencetuskan tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Nordin Ismail bersama lima timbalan pendakwa raya.
Mohd Nordin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 berdasarkan kepada tahap pertuduhan, walaupun mengakui jumlah berkenaan tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Pihak pembelaan, yang diwakili sepuluh peguam termasuk Aizat Azam dan Datuk Mohd Imran Tamrin, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan.
Mereka turut memohon mahkamah mengambil kira portfolio dan tanggungjawab digalas Dr Akmal selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, selain peranannya sebagai suami dan bapa kepada dua anak yang masih bersekolah.
“Jaminan bukan hukuman, tetapi untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah,” kata Mohd Imran kepada mahkamah, sambil menambah bahawa Dr Akmal hadir secara sukarela dan tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September untuk sebutan kes dan penyerahan dokumen.
Majistret Nurul Rasyidah turut membenarkan permohonan pembelaan supaya Dr Akmal tidak ditempatkan di lokap mahkamah sementara menunggu proses jaminan.
Dr Muhamad Akmal sebelum ini mengetuai perarakan sejauh 1.4 kilometer di Kepala Batas sebagai sokongan terhadap bendera kebangsaan, susulan insiden kontroversi melibatkan Jalur Gemilang yang diterbalikkan di sebuah kedai.
Beliau kemudian dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis Dang Wangi berhubung perhimpunan tersebut. - Getaran, 22 Ogos 2025

