Didikan ayah ibu lahir enam pejuang ilmu

LocalFamily & Parenting
19 Apr 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Didikan ayah ibu lahir enam pejuang ilmu
Mohd Nason (duduk di depan, kiri) dan Salmah (duduk di depan, kanan) bersama tujuh anak mereka dari kiri; Muhammad Ariff, Muhammad Amin, Amir, Siti Hajar, Amri, Aswad dan Azli bersama kedua ibu bapa mereka.
Image from: Didikan ayah ibu lahir enam pejuang ilmu
Maahad Al-Iman Li Ulumil Quran terletak di Kuala Ketil, Kedah.
Image from: Didikan ayah ibu lahir enam pejuang ilmu
Murid sekolah rendah solat berjemaah sebelum pulang selepas tamat sesi persekolahan harian.
Image from: Didikan ayah ibu lahir enam pejuang ilmu
Maahad Al-Iman Li Ulumil Quran mula dibuka pada 2017 dengan hanya 12 orang pelajar.

BALING – Di sebuah kampung tenang di Kuala Ketil, berdiri sebuah institusi yang bukan sekadar pusat pengajian, tetapi lambang pengorbanan dan bakti enam beradik lelaki yang memilih untuk pulang membina legasi di tanah sendiri.

Maahad Al-Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar menjadi bukti bagaimana didikan keluarga mampu melahirkan anak-anak yang bukan sahaja berjaya menuntut ilmu hingga ke luar negara, malah kembali menyumbang kepada masyarakat.

Anak sulung, Dr Amir Mohd Nason, 47, lulusan Mesir, kini Pengerusi Lembaga Tadbir dibantu adik-adiknya, Azli, 46, dan Aswad, 42, kedua-dua lulusan Syria.

Amri, 44, juga lulusan Syria, menggalas tanggungjawab sebagai Mudir Am, manakala Muhamad Ariff, 35, lulusan Jordan, menjadi Pengetua Sekolah Menengah dan Muhammad Amin, 31, lulusan Yaman, sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Di sebalik kejayaan enam beradik ini, berdiri teguh sosok ibu bapa mereka, Mohd Nason Mohd Noh, 75, dan Salmah Hassim, 73, yang sejak awal menanam benih kecintaan terhadap ilmu agama sehingga membentuk jati diri anak-anak untuk berbakti kepada ummah.

Selain enam anak lelaki, pasangan itu turut dikurniakan seorang anak perempuan, Siti Hajar, 39.

**media[3495640]**

Penubuhan maahad ini bermula apabila seorang dermawan mewakafkan tanah seluas 12 hektar, membuka ruang kepada keluarga tersebut merealisasikan impian membina pusat pendidikan bersepadu yang menggabungkan hafazan al-Quran dan akademik.

Bermula dengan hanya 12 pelajar pada 2017, maahad itu kini berkembang pesat dengan kira-kira 492 pelajar, manakala hampir 70 peratus kawasan telah dilengkapi kemudahan termasuk masjid, asrama, bilik darjah, dewan dan padang.

Menurut Muhamad Ariff, sejak 2019, pihak maahad mula menawarkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membuka laluan lebih luas kepada pelajar tahfiz melanjutkan pengajian.

“Alhamdulillah, bagi keputusan SPM 2025, dua pelajar memperoleh 9A, lima pelajar mendapat 8A dan paling membanggakan, kesemua 66 calon lulus 100 peratus,” katanya.

Tambah beliau, sokongan ibu bapa dan komitmen tenaga pengajar menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang dikecapi pada hari ini.

**media[3495641]**

“Sejak kecil kami dihantar ke sekolah agama dan kini kami memilih untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di tempat sendiri,” ujarnya.

Bagi Muhammad Amin pula, keputusan untuk bersama maahad itu pada awalnya bukan pilihan utama, namun nasihat ibu bapa mengubah haluan hidupnya.

“Pada awalnya saya bercadang bekerja sendiri, tetapi mak ayah minta saya bersama abang-abang di sini. Kini selepas hampir lapan tahun, saya lihat sendiri hasilnya berbaloi apabila pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dan memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Menurut Amri, sistem pembelajaran di maahad itu merangkumi pendidikan rendah dan menengah berasaskan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi subjek teras, selain pengajian al-Quran, agama dan bahasa Arab.

“Dalam tempoh sedekad, maahad telah melahirkan 76 hafiz dan hafizah, dan lepasan pelajar turut melanjutkan pengajian ke luar negara seperti Jordan dan Syria,” katanya.

**media[3495642]**

Mengakui cabaran mendidik generasi masa kini yang terdedah kepada pengaruh gajet dan media sosial, pihak maahad menekankan kerjasama erat ibu bapa terutama ketika cuti sekolah.

“Kami meminta mereka memantau hafazan di rumah serta menggalakkan anak-anak terlibat dalam khidmat masyarakat seperti menjadi imam dan bilal di surau setempat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap institusi pendidikan swasta seperti ini terus diberi perhatian dan pengiktirafan setara memandangkan usaha menggabungkan akademik dan hafazan bukan sesuatu yang mudah.

Namun bagi mereka, segala penat lelah itu berbaloi apabila melihat anak-anak didik membesar menjadi insan seimbang, sekali gus membawa harapan untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berteraskan ilmu dan akhlak.

INFO MAAHAD AL-IMAN LI ULUMIL QURAN

Lokasi & Asas: Kuala Ketil, Kedah • Diasaskan 6 beradik • Tanah wakaf 12 hektar

Perkembangan: Bermula 12 pelajar (2017) → kini 492 pelajar

Pencapaian: 76 hafiz dilahirkan dalam sedekad

SPM 2025

- 100% lulus (66 calon)

- 2 pelajar 9A, 5 pelajar 8A

Sistem

- Gabung hafazan + akademik KPM

- SPM ditawar sejak 2019