
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan dua penambahbaikan terhadap mekanisme penyasaran subsidi diesel bagi memastikan pelaksanaannya lebih inklusif, menepati keperluan rakyat serta mengambil kira faktor kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan dan kedudukan fiskal negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang turut meneliti status pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api melalui mekanisme Budi Diesel, Budi95, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menurutnya, penambahbaikan pertama membabitkan peluasan penyaluran subsidi diesel kepada peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas atau kod kegunaan persendirian perniagaan.
“Sebelum ini, kelayakan subsidi diesel hanya diberikan kepada kenderaan yang didaftarkan atas nama individu di bawah Budi Diesel serta kenderaan syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas atau kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna menerusi SKDS.
“Justeru, langkah ini membolehkan lebih ramai peniaga kecil menikmati manfaat subsidi diesel bagi mengurangkan kos operasi dan menyokong aktiviti ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui di Program Turun Padang Menteri Sempena Pelaksanaan Budi Diesel, di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, penambahbaikan kedua pula melibatkan semakan pelarasan kadar kuota tetap bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah SKDS.
Katanya, selain mengambil kira purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, pelarasan kuota itu turut meneliti faktor teknikal seperti Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta pola operasi kenderaan.
“KPDN, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan dasar ini, termasuk mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian dan pengubahsuaian sistem sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan, sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara kini bersedia melaksanakan Budi Diesel yang akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Julai ini melibatkan 10 syarikat minyak iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, Petros dan IPTB.
Katanya, pelaksanaan secara rintis bermula Sabtu di stesen minyak di Semenanjung Malaysia bagi menguji kestabilan sistem dengan akses awal diberikan kepada penerima yang layak pada harga runcit RM2.15 seliter, sebelum harga subsidi Budi Diesel RM2.10 seliter dilaksanakan sepenuhnya 1 Julai ini.
“Tinjauan turut meliputi kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta aspek perkhidmatan pelanggan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
“KPDN komited memastikan rakyat yang layak dapat mengakses subsidi diesel dengan mudah, selamat dan mesra pengguna,” katanya.






