Digantung dua tahun, 100 hari penentu hala tuju baharu KAFA - Rosmadi

LocalFootball
26 Nov 2026 • 2:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Digantung dua tahun, 100 hari penentu hala tuju baharu KAFA - Rosmadi
Rosmadi (tengah,duduk) bersama barisan Exco KAFA pada Kongres Luar Biasa KAFA di Kota Bharu pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

TEMPOH 100 hari pertama bakal menjadi ujian penting kepada kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam merangka hala tuju serta memulihkan semula badan induk bola sepak negeri itu selepas hampir dua tahun digantung.

Presidennya, Datuk Seri Rosmadi Ismail, berkata tempoh tersebut akan dimanfaatkan untuk mengenal pasti tindakan yang perlu dilaksanakan serta pencapaian yang mampu direalisasikan sebelum pelan pemulihan secara berfasa digerakkan.

"Keutamaan ketika ini adalah memperkemaskan pentadbiran KAFA termasuk sistem pengurusan dan prosedur operasi standard (SOP) sebelum memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak negeri.

"Kita perlu melihat dalam tempoh 100 hari ini apa yang perlu dibuat, apa yang mampu dilaksanakan dan apa yang boleh dicapai.

"Saya bersama barisan Exco sudah berbincang untuk menetapkan perkara yang akan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dan perancangan itu akan diperhalusi menerusi mesyuarat pertama Exco nanti," katanya pada sidang akhbar selepas Kongres Luar Biasa KAFA di sini pada Khamis.

Menurut beliau, KAFA akan melaksanakan proses pemulihan dalam beberapa fasa dengan pembangunan akar umbi, bakat pemain, pengadil dan jurulatih menjadi antara keutamaan selepas aspek pentadbiran diperkemaskan.

Katanya, penggantungan yang hampir dua tahun sebelum ini menyebabkan banyak aktiviti persatuan terbantut, justeru kepimpinan baharu perlu mengembalikan fungsi KAFA sebagai badan yang bertanggungjawab membangunkan bola sepak Kelantan.

"Kita sebenarnya mempunyai jurulatih yang baik, pengadil yang baik dan pemain yang baik. Saya rasa itulah tugas utama KAFA pada hari ini," katanya.

Mengulas tanggungjawab menerajui KAFA, Rosmadi mengakui amanah itu cukup besar, terutama dengan harapan tinggi penyokong yang mahu melihat bola sepak Kelantan kembali bangkit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jawatan tersebut bukan satu kemegahan, sebaliknya tanggungjawab untuk membina semula bola sepak negeri dengan sokongan semua pihak.

"Jika bercakap mengenai tekanan, kita tidak akan berada di sini. Kita semua mempunyai minat dan kesungguhan yang tinggi untuk memulihkan bola sepak Kelantan.

"Saya percaya dengan kerjasama barisan Exco, Timbalan Presiden, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kita mempunyai jalan untuk memulihkan serta membangunkan KAFA kembali," katanya.

Beliau berkata, kepimpinan baharu KAFA tidak mahu menjanjikan kejayaan segera kerana menyedari cabaran besar yang perlu ditangani, namun yakin kerjasama dan kekuatan pasukan mampu memudahkan usaha tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved