KAFA guna 100 hari pertama untuk tetap hala tuju baharu

LocalFootball
26 Nov 2026 • 2:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KAFA guna 100 hari pertama untuk tetap hala tuju baharu

KOTA BHARU: Barisan kepimpinan dan jawatankuasa eksekutif baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menggunakan 100 hari pertama untuk menetapkan hala tuju baharu, termasuk merangka kaedah pemulihan penuh organisasi berkenaan.

Presiden KAFA, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, langkah pemulihan badan induk bola sepak negeri itu perlu dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan memperkemaskan kembali aspek pentadbiran, sebelum turun kepada pembangunan.

Menurutnya, perbincangan barisan ahli jawatankuasa eksekutif baharu sudahpun dijalankan secara tidak rasmi untuk menetapkan apa yang perlu dilaksanakan serta mahu dicapai.

“Bagi saya, usaha pemulihan KAFA ini perlu mempunyai fasa-fasa tertentu, sama ada satu, dua atau tiga fasa. Kita kena lihat apa yang mahu dirangka dan dicapai dalam masa 100 hari terbaharu ini.

“Selepas ini kita akan adakan mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif untuk memperhalusi perancangan kita,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa KAFA yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab. Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman di sini hari ini.

Beliau memberitahu, tindakan penggantungan yang dikenakan oleh FAM ke atas KAFA selama hampir dua tahun telah menyebabkan banyak aktiviti pembangunan bola sepak negeri terbantut.

Katanya, sehubungai itu tumpuan utama KAFA selepas ini adalah untuk membangunkan bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak, selain pengadil dan jurulatih.

“Tadi juga Presiden FAM meminta kita melihat secara lebih serius aspek pembangunan bola sepak Wanita. Itu yang penting sebab, untuk bercakap berkenaan pasukan, kita sudah ada dua pasukan utama dalam Liga Super dan Liga A1 Semi Pro sekarang ini.

“KAFA akan terus memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan tersebut, namun kewajipan saya Bersama barisan jawatakuasa eksekutif baharu KAFA adalah untuk memulihkan serta membina kembali sukan bola sepak di Kelantan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rosmadi yang juga Naib Presiden FAM berkata, FAM sebenarnya cukup gembira dengan kembalinya KAFA, kerana Kelantan mempunyai bilangan prospek serta bakat baharu yang tinggi dalam sukan bola sepak.

“FAM berharap, barisan ahli jawatankuasa eksekutif baharu KAFA dapat merancang dan melaksanakan program yang baik untuk pembangunan bola sepak Kelantan dan negara,” katanya. – UTUSAN

 

The post KAFA guna 100 hari pertama untuk tetap hala tuju baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved