
Cik Bunga sebenarnya tidaklah begitu mengenali seorang pengacara yang namanya sejak kebelakangan ini mula menjadi buah mulut warga maya. Maklumlah, dia bukanlah dalam kategori pengacara yang cukup popular sehingga setiap gerak-gerinya menjadi perhatian.
Namun, apabila namanya mula dikaitkan dengan gelaran ‘ratu propa’, tiba-tiba banyak pula cerita mengenai perangainya yang sampai ke telinga Cik Bunga. Bukan Cik Bunga mahu menokok tambah, tetapi sumber yang mendakwa mengenali pengacara berkenaan mengatakan sikap ‘mean girl energy’ itu bukanlah perkara baharu.
Malah, kononnya sejak dahulu lagi dia dikatakan mempunyai perangai seperti kaki buli, cuma bukan dalam bentuk fizikal. Sebaliknya, lebih kepada permainan emosi dan cara melayan orang.
Cerita sumber lagi, kalau mahu bertegur dengannya, jangan terus datang dengan muka selamba. Kena ‘lambung’ pujian dahulu! Puji kasut cantik, baju lawa atau penampilan menarik, barulah dia mahu melayan perbualan.
Sumber juga mendakwa kalau seseorang itu dirasakan tidak setaraf atau tidak berada pada ‘level’ yang sama dengannya, dikatakan layanan yang diterima juga berbeza.
Cik Bunga tertanya-tanya, level yang dimaksudkan itu level apa? Dari segi populariti, rasanya pengacara berkenaan pun belumlah sampai ke tahap setiap kali keluar rumah, kamera paparazi mengekori.
Apa pun, kalau benar ada sedikit sebanyak perkara yang dikatakan itu, mungkin sudah tiba masanya pengacara berkenaan bermuhasabah dan melihat semula cara dia melayan orang di sekeliling.
Dalam industri hiburan, bakat memang penting. Populariti juga satu bonus. Tetapi sikap dan cara kita menghargai orang lain sebenarnya jauh lebih lama orang ingat.
Kalau pernah dilayan dengan buruk, jangan terkejut kalau orang mengingatinya bertahun-tahun.
Jadi, sebelum terlalu sibuk menilai ‘level’ orang lain, mungkin elok juga sesekali kita bertanya kepada diri sendiri, di level manakah perangai kita berada?
The post Digelar ‘Ratu Propa’, perangai mean girl pengacara dipersoal appeared first on Utusan Malaysia.



