
KUALA LUMPUR - Perubahan emosi secara mendadak, urusan kewangan yang mula dirahsiakan dan pertukaran kata laluan telefon secara tiba-tiba boleh menjadi antara petanda awal seseorang ahli keluarga mungkin sudah terperangkap dalam jerat penipuan atau scam.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata ahli keluarga perlu lebih peka terhadap perubahan emosi mangsa, termasuk rasa malu, bersalah, cemas dan kebimbangan melampau.
Menurutnya, mangsa scam sering memilih untuk menyembunyikan apa yang berlaku kerana takut dipandang lemah, bodoh atau dihakimi orang sekeliling.
“Antara perubahan emosi yang ketara ialah mangsa tiba-tiba menjadi pendiam, suka menyendiri, mudah marah atau tersinggung, hilang tumpuan, mengalami kesukaran tidur serta hilang selera makan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, terdapat juga mangsa yang terus berada dalam penafian meskipun sudah wujud pelbagai petunjuk bahawa mereka sebenarnya telah diperdaya.
Dari sudut tingkah laku pula, antara tanda yang boleh diperhatikan termasuk pertukaran kata laluan telefon secara tiba-tiba, tidak membenarkan orang lain menyentuh atau memeriksa barangan peribadi serta mula berahsia mengenai urusan kewangan.
“Mereka juga mungkin melakukan pemindahan wang secara sembunyi-sembunyi, menjual barangan berharga tanpa alasan yang munasabah atau meminjam wang daripada rakan dan ahli keluarga dengan alasan yang berubah-ubah serta tidak konsisten,” katanya.
Menurut Shahul Hamid, mangsa juga cenderung mengelak apabila ditanya mengenai wang atau urusan kewangan.
“Mereka mungkin cuba menukar topik, mengelak daripada menjawab atau bertindak marah kerana tidak mahu perkara sebenar terbongkar,” katanya.
Beliau berkata, keadaan boleh menjadi lebih membimbangkan apabila mangsa semakin terdesak untuk mendapatkan wang sehingga sanggup mengambil langkah lebih agresif.
Antaranya, membuat pinjaman baharu, menjual aset atau menambah pelaburan dengan harapan dapat mendapatkan semula wang yang sudah hilang.
Justeru, beliau menasihatkan ahli keluarga yang mula menyedari perubahan sedemikian supaya tidak terus menuduh atau memalukan mangsa.
Tindakan itu, katanya, hanya boleh menyebabkan mangsa semakin menjauhkan diri dan lebih sukar untuk dibantu.
“Sebaliknya, dekati mereka dengan penuh empati dan dengar apa yang ingin mereka ceritakan tanpa meletakkan sebarang kesalahan.
“Langkah seterusnya ialah membantu menghentikan pemindahan wang dan memutuskan semua bentuk hubungan dengan scammer, selain mendapatkan bantuan daripada pihak yang dipercayai seperti polis dan institusi perbankan.
“Individu yang terjerat scam tidak semestinya lemah atau bodoh, sebaliknya mereka telah dimanipulasi secara psikologi.
“Saya juga menasihatkan mangsa dan ahli keluarga supaya menyimpan semua bukti berkaitan penipuan, termasuk tangkap layar perbualan, rekod pemindahan wang, nombor akaun dan maklumat lain bagi memudahkan tindakan lanjut diambil,” katanya.
Nasihat itu menyusuli pendedahan polis sebelum ini bahawa skim pelaburan haram dan love scam antara isu yang dikaitkan dengan kematian empat sekeluarga di Desa Parkcity pada 26 Ogos lalu. - Getaran, 30 Ogos 2026


![[VIDEO] Tengah ‘live’ tiba-tiba Tunku Azizah muncul dari belakang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-27-at-10.32.18-PM-1024x766.jpeg)


