Diharamkan: Penunggang Basikal Dilarang Guna Lebuh Raya, Tetapi Ada Sebabnya

11 Jul 2025 • 12:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekali lagi mengharamkan penunggang basikal daripada menggunakan laluan lebuh raya di negara ini kerana ia merupakan laluan khas untuk kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, larangan itu bertujuan menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya serta mematuhi peraturan sedia ada.

“Ia merupakan antara larangan yang jelas termaktub dalam Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59, khususnya Peraturan 17 yang menyatakan basikal, basikal roda tiga, beca serta kenderaan yang ditarik haiwan dilarang memasuki lebuh raya.

“Pihak konsesi lebuh raya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memasang papan tanda larangan bagi memaklumkan secara jelas kepada pengguna bahawa laluan tersebut tidak boleh digunakan oleh penunggang basikal,” katanya pada Khamis.

“Individu yang bersalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan,"

Bagaimanapun, arahan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana pihak Polis Diraja Malaysia sudah pun melarang sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran pihaknya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sejak beberapa tahun lalu.

Terdahulu, aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya, namun dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan.

Diharapkan, penguatkuasaan kali ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Apa pula komen geng basikal? Tinggalkan komen anda di bawah ruangan ini!