Penunggang basikal diingatkan bahawa mereka dilarang menggunakan laluan lebuh raya di negara ini kerana ia dikhaskan untuk kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menjelaskan larangan ini termaktub dalam Peraturan 17, Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59 yang turut melibatkan basikal roda tiga, beca serta kenderaan yang ditarik haiwan.
“Pihak konsesi lebuh raya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memasang papan tanda larangan untuk memaklumkan dengan jelas kepada pengguna,” katanya.
Tambahnya, mereka yang melanggar peraturan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 70(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan berdepan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.
Baca juga:
Mohd Yusri turut menasihatkan penunggang basikal supaya mematuhi 18 peraturan asas di bawah Kaedah Lalu Lintas LN165/59, termasuk penggunaan isyarat tangan dan memilih laluan paling selamat.
Beliau menegaskan bahawa jalan raya di Malaysia dibina khusus untuk kenderaan bermotor dan bukan untuk berbasikal, kecuali di lokasi khas yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan.
“Berbasikal seharusnya dilakukan di taman rekreasi, laluan khas, atau ketika menyertai program kayuhan rasmi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Penunggang basikal dilarang guna lebuh raya appeared first on The Reporter.



