
KUALA LUMPUR: Kembali menghiburkan peminat tanah air, penyanyi Indonesia, Fabio Asher menjanjikan persembahan berbeza menerusi konsert Fabio Asher: The Romanticist yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 22 November ini.
Menurut Fabio, konsert berkenaan bakal menyaksikan sebahagian lagu popularnya diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik berkonsepkan orkestra.
“Sebenarnya bukan semua lagu akan menggunakan konsep orkestra. Konsert ini akan dibahagikan kepada tiga segmen dan setiap segmen mempunyai konsep yang berbeza.
“Saya memilih orkestra kerana mahu memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar dan penonton yang sudah berulang kali datang ke konsert saya.
“Bukan kerana takut mereka bosan, tetapi saya mahu memberikan susunan muzik yang berbeza. Dengan konsep orkestra, saya yakin kelainan itu akan memberikan pengalaman baharu kepada pendengar,” katanya ketika ditemui di sidang media Fabio Asher: The Romanticist, pada Rabu.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Tanpa Rasa Bersalah itu turut terlibat secara langsung dalam proses susunan dan penerbitan muzik bagi memastikan persembahan kali ini mempunyai identiti tersendiri.
“Saya bekerja rapat dengan pasukan bagi memastikan apa yang dipersembahkan nanti benar-benar istimewa.
“Saya yakin lagu-lagu saya boleh diberikan pelbagai susunan muzik. Dengan orkestra, persembahannya akan menjadi lebih megah tetapi pada masa sama kekal intim,” katanya.
Bagaimanapun, Fabio turut mengesahkan bakal membawakan lagu baharu yang bakal dilancarkan pada Oktober ini.
“Saya pasti akan membawakan lagu baharu. Lagu itu bakal dilancarkan pada Oktober dan sejujurnya, lagu tersebut diinspirasikan daripada salah seorang peminat dari Malaysia.
“Saya sering membaca mesej peribadi yang dihantar oleh peminat. Ada seorang peminat wanita berkongsi kisah bahawa dia sedang rapat dengan seorang lelaki, tetapi mereka tidak tahu apakah status hubungan tersebut.
“Dia tertanya-tanya, ‘Sebenarnya hubungan kami ini apa?’ Daripada perkataan ‘apa’ itulah akhirnya tercetus idea untuk menghasilkan sebuah lagu yang akan saya lancarkan bulan depan,” ujarnya.
Tiket konsert Fabio Asher: The Romanticist akan mula dijual pada 4 September ini.
The post Diiringi orkestra, Fabio Asher buat konsert lagi 22 November ini appeared first on Utusan Malaysia.



