Dijangka Siap Akhir 2027, Ini Apa Yang Disediakan Dalam Kota MADANI Di Putrajaya

Entertainment
4 Jun 2025 • 11:20 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri pembentangan pembangunan Kota MADANI yang akan dibangunkan di Putrajaya.

Menurutnya, kota baharu yang bakal dibina itu menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat untuk kebajikan rakyat Malaysia.

Berkeluasan 102 ekar, ini kemudahan yang ada dalam Kota MADANI

Menurut laporan, antara kemudahan yang dirancang dalam Kota MADANI yang berkeluasan 102 ekar ini ialah institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, sekolah menegak serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menerusi pembentangan konsep Kota MADANI itu, dalam Fasa Pertama nanti sebanyak 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun 2027.

image is not availableimage is not available

Selain itu, bandar ini bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.

image is not availableimage is not available

Reka bentuk kediaman itu diintegrasi dengan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau sekali gus menjadi asas kepada bandar rendah karbon sebagai menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

“Reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar usaha mengekalkan seni bina dan warisan,” kongsi Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Dr Zaliha selaku Menteri Wilayah Persekutuan berkongsi Majlis Pecah Tanah dijadualkan berlangsung pada 26 Jun 2025 ini.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.