SPRM reman Datuk Seri, Datuk Wira, sita 15 kereta mewah

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 7:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM reman Datuk Seri, Datuk Wira, sita 15 kereta mewah
Dua tokoh korporat disiasat SPRM bagi membantu siasatan kes urusan pelaburan kira-kira RM10 juta. Foto SPRM

PUTRAJAYA - Dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira ditahan di sini pada Rabu, disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Dua beradik lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kedua-dua mereka kemudian direman lima hari sehingga 5 Oktober selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Siasatan awal SPRM mendapati kedua-dua individu itu disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.

Kedua-dua mereka juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an.

Dalam pada itu, SPRM turut menyita sebanyak 15 unit kereta mewah, 12 unit motosikal berkuasa tinggi, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved