Nazir Hussin persoal tindakan, sitaan SPRM

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 1:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nazir Hussin persoal tindakan, sitaan SPRM

KUALA LUMPUR: Tindakan dan sitaan terhadap pelbagai kenderaan mewah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan kes penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM10 juta dipersoalkan.

Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar, berkata SPRM berada di kediamannya selama 12 jam bermula kira-kira pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, kediamannya digeledah dan beberapa kenderaan termasuk kereta serta motosikal turut disita atas alasan terdapat penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mempertikaikan tindakan dan cara penyitaan tersebut yang pada pandangan saya merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Untuk rekod, kertas siasatan berkaitan isu ini pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu. Pihak SPRM telah menjalankan siasatan dan pada ketika itu, saya difahamkan tiada salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut dikenal pasti pada tahun 2022,” katanya ketika sidang media di Jalan Dutamas 1, di sini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM membebaskan dua tokoh korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta dengan jaminan.

Suspek bergelar Datuk Wira dibebaskan pada 5 Oktober lalu selepas tempoh remannya berakhir, manakala seorang lagi suspek bergelar Datuk Seri dilepaskan semalam selepas tempoh remannya dilanjutkan selama dua hari.

Menurut sumber, sebelum ini kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 5 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Nazir Hussin turut mempertikaikan kandungan yang dimuat naik SPRM di akaun TikTok rasminya yang menggunakan lagu latar bertemakan ‘penyamun’, sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

“Sedangkan pada ketika itu siasatan belum berjalan dan tiada sebarang pertuduhan terhadap saya. Perkara ini sekiranya dibaca sekaligus boleh menimbulkan suatu persepsi bahawa saya telah pun disabit bersalah.

“Pada pandangan saya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa,” katanya. – UTUSAN

The post Nazir Hussin persoal tindakan, sitaan SPRM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved