
MACHANG – Gara-gara dimarahi ibu kerana keluar makan bersama teman lelakinya, seorang remaja perempuan berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer keluar dari rumah sebelum ditemui dalam keadaan terbaring keletihan di Jalan Kemuning di sini pada Khamis lalu.
Remaja yang berusia 15 tahun itu ditemui di tepi jalan tersebut oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis kira-kira pukul 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, siasatan awal mendapati, remaja terbabit berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer selepas keluar dari rumahnya di Kok Lanas, Ketereh kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, remaja itu dikatakan keluar dari rumah tanpa kebenaran keluarganya dan berjalan kaki sehingga di Kem Desa Pahlawan, Bukit Cina dekat Kok Lanas sebelum menahan seorang penunggang motosikal yang tidak dikenalinya.
“Siasatan mendapati, remaja itu meminta untuk meninggalkannya di tepi Jalan Kemuning. Mangsa yang berpakaian lengkap mengalami keletihan dan pengsan di lokasi kejadian sebelum ditemui oleh orang awam.
“Mangsa dikatakan keluar rumah tanpa kebenaran untuk tujuan melarikan diri sebelum dia menumpang motosikal seorang lelaki,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azuhar memberitahu, tiada asas untuk menyatakan bahawa remaja itu telah dibuang atau ditinggalkan di tepi jalan oleh mana-mana pihak. Remaja terbabit kemudian dihantar ke Hospital Machang sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan keadaannya dilaporkan stabil. – KOSMO! ONLINE
The post Dimarah keluar dengan teman lelaki, remaja berjalan 4km sebelum pengsan appeared first on Kosmo Digital.





