
KUALA KRAI – Rakan kepada dua remaja yang lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Aur Duri, di sini semalam sempat memegang tangan salah seorang mangsa sebelum terlepas ekoran arus deras di kawasan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Muhd. Ammar Mohd. Jasmi, 14, mencapai dan menggenggam tangan, mangsa Muhammad Rayyan Mohd. Hakimie Mohd. Yusmiza, 14, yang terjerlus ke dalam sungai sewaktu berjalan di kawasan pasir.
Muhd. Ammar berkata, sebelum kejadian, dia bersama Muhammad Rayyan dan seorang lagi mangsa yang sudah dijumpai, Muhammad Lut Naiman Mohd. Noor Aziron, 14, serta tiga lagi rakan menaiki sebuah motosikal sejauh kira-kira tiga kilometer dari rumah masing-masing di Kampung Guchil, di sini.
Menurutnya, mereka berlima pada awalnya merancang untuk mandi di kawasan sungai berhampiran, namun berubah fikiran sebelum pergi ke lokasi kejadian.
“Saya lihat Muhammad Rayyan dan Muhammad Lut Naiman berjalan di atas pasir sebelum mereka tiba-tiba terjerlus ke dalam sungai dan air ketika itu masih cetek.
“Saya cuba menarik tangan Muhammad Rayyan sambil meminta pertolongan, namun terlepas kerana arus deras. Muhammad Lut Naiman pula sudah dibawa arus sebelum seorang penduduk kampung yang menaiki bot datang membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Muhd. Ammar memberitahu, dia amat sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan Muhammad Rayyan yang merupakan rakan karibnya sejak kecil.
Katanya, dia dan rakan-rakannya kerap datang ke kawasan itu pada waktu petang untuk melihat penduduk kampung memancing, namun jarang mandi di kawasan tersebut.
“Muhammad Rayyan dan Muhammad Lut Naiman juga tidak pandai berenang,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, kegembiraan lima sekawan mandi-manda di kawasan Sungai Kelantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Kelantan dekat Kampung Aur Duri, di sini. – KOSMO! ONLINE
The post Arus sungai deras, rakan terlepas genggaman tangan Muhammad Rayyan appeared first on Kosmo Digital.





