
SEREMBAN - Walaupun digesa untuk kembali bertugas sebagai Menteri Pengangkutan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memilih terus menutup mulut dan tidak mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.
Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Paroi, hari ini, Ahli Parlimen Seremban itu hanya menggelengkan kepala dan mengangkat tangan sebelum beredar.
Tindakan tersebut memberi isyarat bahawa beliau tidak berhasrat menjawab sebarang pertanyaan media berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, Anwar menyuarakan harapan agar Loke kembali menggalas tanggungjawab menerajui Kementerian Pengangkutan, mengambil kira peranan penting kementerian itu dalam menghubungkan rakyat melalui jaringan pengangkutan negara.
Beliau berkata, walaupun memahami dan menghormati alasan Loke meletakkan jawatan, kepentingan rakyat serta negara perlu terus menjadi pertimbangan utama.
Untuk rekod, Loke mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibenarkan untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, Loke bersama Ahli Parlimen DAP lain menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. - Getaran, 28 November 2026




