Khalid Gesa PM Tolak Peletakan Jawatan Anthony Loke 

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 2:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Khalid Gesa PM Tolak Peletakan Jawatan Anthony Loke 

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa qidak menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, sebaliknya mengekalkan khidmat beliau dalam Kabinet ketika kerajaan berdepan ketidaktentuan politik.

Menurut Khalid, Loke wajar terus menggalas tanggungjawab itu sehingga Parlimen dibubarkan, mengambil kira kemenangan terbaharu Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya negeri yang disifatkan berpotensi meningkatkan tekanan politik terhadap Anwar.

Beliau berkata, perkembangan tersebut mungkin mendorong menteri dan timbalan menteri daripada UMNO serta BN mengambil kesempatan mencetuskan provokasi politik bagi mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata Anwar seharusnya mengekalkan menteri dan timbalan menteri yang menunjukkan prestasi baik serta menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Saya mencadangkan supaya PMX menolak peletakan jawatan YB Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan kerana beliau memerlukan khidmat semua menteri dan timbalan menteri yang berprestasi baik serta berkelakuan sewajarnya untuk terus bekerja bersamanya,” katanya.

Mengulas prestasi Loke, Khalid menyifatkan beliau sebagai seorang menteri berprestasi cemerlang dan menjalankan tugas dengan baik, khususnya menerusi pelaksanaan dasar yang memudahkan urusan dan kehidupan rakyat.

Beliau turut memuji pengurusan kewangan Loke, dengan mendakwa menteri itu tidak membelanjakan melebihi peruntukan diluluskan atau terbabit dalam sebarang tindakan yang menyalahgunakan amanah awam.

Bagaimanapun, Khalid tidak menyebut nama mana-mana menteri lain yang dipercayai menjadi perbandingan dalam kenyataannya itu.

Walaupun memahami dan menghormati alasan Loke mengemukakan peletakan jawatan, bellau berpandangan, khidmat Setiausaha Agung DAP itu lebih diperlukan ketika kerajaan berdepan pelbagai cabaran politik ketika ini.

“Walaupun saya memahami dan menghormati alasan di sebalik peletakan jawatan YB Loke, hakikatnya PMX memerlukan khidmat beliau dalam tempoh yang mencabar ini. Keperluan itu perlu diutamakan berbanding pertimbangan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut menggesa Anwar supaya menilai prestasi menteri dan timbalan menteri daripada UMNO serta BN, termasuk menggantikan mereka yang mengkhianati amanah rakyat atau gagal melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh.

“Kerajaan perlu memberi peluang kepada individu yang lebih komited dan bertanggungjawab bagi memastikan pentadbiran negara terus berfungsi dengan berkesan. - Getaran, 17 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved