Loke diminta sambung tugas menteri secepat mungkin

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Loke diminta sambung tugas menteri secepat mungkin

SEREMBAN: Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook diminta untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan secepat mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui sukar menerima cadangan peletakan jawatan itu meskipun menghormati alasan yang dikemukakan pemimpin itu.

Katanya, alasan peribadi tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, khususnya apabila menerajui kementerian yang besar serta strategik.

“Saya juga nak minta dia sambung kerja secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuruan Program Yakin Madani Memaknai Harapan Rakyat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (Kombes), Paroi, di sini hari ini.

Anwar berkata, Kementerian Pengangkutan memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat menerusi sistem perhubungan dan pengangkutan negara.

“Prestasi beliau baik dan membanggakan. Jadi, saya sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan walaupun alasan-alasan beliau saya hormat dan faham.

“Tetapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdi tugas serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mengarahkan Anthony Loke yang masih bercuti supaya menghadiri majlis berkenaan memandangkan program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Sembilan.

“Saudara Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, masih bercuti. Tetapi saya arahkan mesti hadir majlis ini kerana kita tetapkan Kementerian Pengangkutan menjadi tuan rumah bersama dengan Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 November lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah. – UTUSAN

The post Loke diminta sambung tugas menteri secepat mungkin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved