DingTalk Digunakan Sebagai Platform Komunikasi Dan Pengurusan Sukan Asia Hangzhou 2022

TechnologyDigital
27 Sep 2023 • 11:53 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Didalam arena pengurusan syarikat melibatkan kepada komunikasi dan kerjasama dalam perusahaan, selain dari Slack, terdapat Dingtalk yang ditawarkan oleh Alibaba yang turut menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuklah perkongsian fail, permesejan, pengurusan pekerja dan bermacam lagi. Khusus untuk Sukan Asia Hangzhou 2022 ini, mereka telah berkongsi sedikit sebanyak bagaimana kejohanan berprestij ini dikendalikan menggunakan DingTalk.

image is not available

Perancangan DingTalk untuk digunakan sebagai aplikasi komunikasi dan pengurusan Sukan Asia Hangzhou 2022 ini bermula sejak Januari 2020, dimana mereka perlu menyesuaikan dan menaiktaraf solusi bersesuaian dengan kejohanan ini. Ini kerana berbeza dengan urusan syarikat seharian, pengurusan kejohanan sukan mempunyai lebih banyak perkara dan operasli yang mungkin tidak dialami dengan syarikat biasa. 

Perkara-perkara seperti solusi untuk pertandingan, tempahan lokasi, pengurusan atlit, staf dan sukarelawan, malah termasuklah bagi mengendalikan kontinjen dari pelbagai negara menjadi satu syarat penting bagi menjamin kelancaran urusan. Ini juga ditambah dengan perlunya kebanyakan urusan ini disiapkan dalam masa yang pantas, telah menjadi salah satu syarat utama bagi Dingtalk menyelesaikan permasalahan ini.

image is not available

Pengurusan Pasukan, Staf, Lokasi, Kejohanan Dalam Satu Aplikasi

Sebut sahaja kejohanan sukan, ia bakal melibatkan pelbagai pengguna, dari pelbagai negara, dan memerlukan solusi pada skala besar. DingTalk yang digunakan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 ini membolehkan pengurusan dan juga pengesahan untuk pelbagai permohonan secara terbina menerusi permesejan. Ketua kontinjen, atau sesiapa sahaja, boleh menghantar mesej pengesahan atau memberikan kebenaran kepada sesuatu perkara, sementara dipantau oleh koordinator awam.

image is not available

Dan sekiranya terdapat sebarang isu penting, termasuklah isu kecemasan, Dingtalk turut menyokong perbualan audio dan video yang terus dihubungkan kepada Pusat Kawalan Utama bagi menyelesaikan masalah ini. Lebih dari itu, Dingtalk juga boleh digunakan bagi melihat status dan kelancaran acara pertandingan dan sekiranya terdapat sebarang perkara berbangkit, dapat dipantau dengan cepat. 

Pembantu Pintar Dengan Sokongan Pelbagai Bahasa

Melengkapkan lagi pengurusan sukan menggunakan Dingtalk, mereka turut menyediakan pembantu pintar yang membantu sukarelawan dan juga pengurusan mengetahui perkara-perkara berkaitan sukan yang dikendalikan mereka. Ia turut dapat menjawab soalan-soalan umum seperti peraturan sukan, cara permainan, bagaimana latihan dikendalikan dan bermacam lagi. Maklumat ini juga boleh disediakan baik secara bot-sembang (chatbot) atau hadir sebagai ringkasan informasi yang mudah difahami.

image is not available

Melengkapkan pembantu pintar ini adalah sokongan pelbagai bahasa, sesuai dengan status Sukan Asia yang melibatkan pelbagai negara. Sekiranya terdapat sebarang perbualan atau telesidang, ia turut menyediakan terjemahan yang menyokong pelbagai bahasa, memudahkan komunikasi antara kesemua yang terlibat, meskipun dari negara berlainan.

Dibangunkan Khas Untuk Tujuan Kejohanan Sukan Asia Hangzhou 2022

Dingtalk yang digunakan sewaktu kejohanan ini juga turut membawakan hampir 300 aplikasi yang dibangunkan tanpa melibatkan pengaturcaraan yang rumit. Memandangkan Dingtalk turut menyediakan ‘low-code platform’, sesiapa sahaja dapat membangunkan sistem mudah, tanpa memerlukan pengaturcara mahupun tanpa memerlukan masa yang terlalu lama untuk menyiapkan aplikasi mudah.

image is not available

Salah satu aplikasi mudah yang dibangunkan adalah aplikasi tempahan kemudahan sukan. Aplikasi ini dibangunkan bagi memudahkan tempahan dari pelbagai negara, seperti contoh pasukan Malaysia ingin menggunakan kolam renang bagi tujuan latihan, aplikasi tersebut dengan pantas dapat menyemak bilakah kolam renang tersebut dapat digunakan. 


image is not available

Sehingga kini dan khusus sempena kejohanan ini, DingTalk telah mengendalikan lebih dari 4.5 juta mesej, yang terdiri dari lebih 12,000 kumpulan kerja, dan ia turut melibatkan sekitar 300 aplikasi khas terbina untuk menyokong kesemua urusan melibatkan Sukan Asia Hangzhou 2022.

Dengan kesemua solusi ini, Dingtalk telah berjaya menawarkan platform mereka yang awalnya dibangunkan untuk urusan syarikat, turut boleh digunakan untuk pengurusan kejohanan sukan yang berprestij. Ia membolehkan persediaan sebelum kejohanan, sehinggalah sewaktu berlangsungnya acara, dan turut mengumpulkan hasil dan data bagi menambah baik kejohanan lain di masa akan datang.

image is not available