
KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dipecat daripada BERSATU masih kekal dalam jawatan.
Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kedua-dua mereka masih berkhidmat dalam pentadbiran negeri.
Menurut beliau, sebarang keputusan melibatkan ADUN Suka Menanti merangkap Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani serta ADUN Sungai Tiang yang juga Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis perlu melalui prosedur pentadbiran sewajarnya dan menerima perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Semua tindakan perlu mengikut prosedur pentadbiran. Kita perlu berbincang secara terperinci, mengemukakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, dan melalui proses yang ditetapkan.
“Mereka masih menjalankan tugas (sebagai EXCO negeri dan Timbalan Speaker) seperti biasa pada masa ini,” katanya.
Jelas beliau, kedua-dua ADUN itu kini dianggap sebagai wakil bebas tetapi masih menyokong kerajaan negeri.
“Mereka bukan pembangkang, sebaliknya ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri. Kedudukan mereka akan dibincangkan lebih lanjut (selepas ini),” katanya.
Sanusi menarik perhatian, BERSATU sebelum ini telah mengemukakan permohonan untuk perubahan jawatan Exco dan Timbalan Speaker, namun tiada tindakan diambil pada waktu itu kerana individu terbabit masih ahli parti.
Beliau menambah, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri, April lalu.
“Ketika itu, mereka belum dikenakan tindakan disiplin oleh parti, jadi tiada alasan untuk menggantikan mereka dengan orang lain.
“Sekarang setelah surat rasmi pemecatan diterima, sebarang tindakan masih tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker,” katanya.
Getaran difahamkan, pemecatan kedua-dua ADUN terbabit dibuat di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti atas dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan parti.
Dalam perkembangan berasingan, tujuh lagi wakil rakyat, melibatkan lima Ahli Parlimen dan dua ADUN telah digantung selama dua penggal.
Ahli Parlimen yang terlibat ialah Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Dua ADUN yang digantung ialah Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang). - Getaran, 9 Mei 2026





