
SEREMBAN: Seramai 14,995 daripada keseluruhan 16,467 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 telah menunaikan tanggungjawab mang-masing pada proses pengundian awal yang berlangsung hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, jumlah itu mewakili 91.06 peratus daripada keseluruhan pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.
Katanya, proses pengundian awal bermula pada pukul 8 pagi di 38 pusat mengundi awal yang dibuka di seluruh Negeri Sembilan.
“Sebanyak 18 pusat mengundi ditutup pada pukul 12 tengah hari, dua pusat mengundi ditutup pada pukul 2 petang manakala baki 18 pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang.
“Seramai 16,467 anggota tentera dan pasangan serta anggota polis layak mengundi awal dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta pasukan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang proses pengundian awal.
“Penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR,” katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan seramai 889,490 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.-UTUSAN
The post PRN N. Sembilan: 91.06 peratus pengundi awal tunaikan tanggungjawab appeared first on Utusan Malaysia.





