Disangka bom, kotak mencurigakan selamat dimusnahkan Unit Pemusnah Bom

14 Sep 2026 • 9:03 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Disangka bom, kotak mencurigakan selamat dimusnahkan Unit Pemusnah Bom

KUALA LUMPUR – Orang ramai di sekitar Sri Petaling di sini gempar selepas penemuan sebuah kotak plastik mencurigakan yang menghasilkan bacaan radiasi tinggi di hadapan sebuah kedai, tengah hari tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan objek berkenaan pada 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang mendakwa kotak itu ditinggalkan di hadapan premis berkenaan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati objek tersebut mengeluarkan bacaan radiasi yang agak tinggi, menyebabkan unit pakar dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Unit Pemusnah Bom Polis Kuala Lumpur, Unit Bahan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Bukit Aman, serta Agensi Nuklear Malaysia kemudiannya dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut.

“Unit Pemusnah Bom seterusnya menggunakan alat Recoilless Disruptor 5.0 untuk memusnahkan objek yang mencurigakan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil berkata, hasil tindakan pemusnahan itu, beberapa kotak yang disyaki mengandungi blok binaan berwarna-warni ditemui di dalam kotak berkenaan.cada

Beliau berkata, pemeriksaan susulan oleh Jabatan Tenaga Atom kemudian mengesahkan tiada lagi sebarang bacaan radioaktif dikesan di lokasi kejadian.

“Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook turut tiba di lokasi sejurus menerima maklumat mengenai insiden tersebut bagi memantau keadaan.

Terdahulu, foto dan video kejadian tular di media sosial yang memaparkan sebahagian kawasan komersial Sri Petaling ditutup menggunakan pita polis.

Rakaman turut menunjukkan beberapa kenderaan polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berada di lokasi, manakala orang awam menyaksikan operasi dari luar kawasan yang ditutup.

Hantaran di media sosial pada awalnya menyifatkan kejadian itu sebagai ancaman bom, dengan seorang pengguna mendakwa Unit Pemusnah Bom berada di lokasi.

Satu lagi hantaran kemudian mendakwa objek berkenaan telah diletupkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sehubungan itu, Fadil menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan ketakutan atau menggugat ketenteraman awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

The post Disangka bom, kotak mencurigakan selamat dimusnahkan Unit Pemusnah Bom appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved