
ALOR GAJAH – Aktiviti tiga lelaki memancing di kolam tadahan air Empangan Durian Tunggal di sini bertukar gempar apabila mereka menemukan rangka dipercayai manusia di dalam sebuah tong dram bersimen, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu selepas tong berkenaan diperiksa oleh ketiga-tiga pemancing tersebut kira-kira pukul 11.40 pagi.
Katanya, pemancing berusia antara 25 hingga 35 tahun itu dipercayai memotong sedikit bahagian atas tong sebelum terlihat objek menyerupai rangka tulang lalu menghubungi polis.
“Sepasukan polis tiba di lokasi kira-kira pukul 12 tengah hari dan menjalankan pemeriksaan fizikal bersama pasukan forensik. Pemeriksaan awal menemukan rangka atau tulang dipercayai manusia di dalam tong tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Menurut Ahmad, tong dram itu ditemukan kira-kira 15 meter dari jalan utama dan pihak bomba dipanggil bagi membantu mengangkatnya keluar dari kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal turut menemukan tengkorak, manakala bahagian lain rangka masih belum dapat dikenal pasti.
“Rangka itu dipercayai berada di dalam tong berkenaan sekurang-kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan tulang yang telah terlerai serta terdapat tisu masih melekat.
“Tong tersebut turut diisi dengan simen, namun dipercayai telah terlalu lama sehingga simen pada bahagian penutup terlucut dan menyebabkan air masuk sekali gus mempercepatkan proses pereputan mayat,” ujarnya. Rangka itu dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi menentukan jantina, identiti serta punca kematian mangsa. – KOSMO! ONLINE
The post Pemancing jumpa rangka manusia dalam tong bersimen appeared first on Kosmo Online.






