JOHOR BAHRU – Ancaman bom terhadap sebuah premis perniagaan di The Mall Mid Valley Southkey, di sini, disahkan palsu selepas pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) tidak menemui sebarang bahan letupan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, maklumat daripada pihak pengurusan pusat beli-belah itu mengenai e-mel ancaman bom itu diterima pada jam 11.31 malam, Ahad.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pemeriksaan dan pembersihan keselamatan dijalankan di sekitar kawasan dalam dan luar bangunan dengan kerjasama pasukan keselamatan premis.
“Beberapa objek mencurigakan ditemui dan seterusnya diperiksa oleh pasukan UPB.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek-objek berkenaan tidak mengandungi sebarang bahan letupan dan tiada sebarang ancaman bom dikesan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kawasan terbabit kemudian disahkan selamat sepenuhnya.
“Polis Johor mengambil serius setiap ancaman berkaitan bahan letupan dan sentiasa memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan orang awam serta persekitaran,” katanya.
Ab Rahaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian hendaklah dirujuk kepada pihak polis bagi memastikan kesahihan maklumat serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.






