Disebalik Teknologi Kamera Xiaomi 17 Ultra Bersama Jurutera Kamera Xiaomi

TechnologyDigital
2 Mar 2026 • 1:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk melawat Xiaomi Smart Factory yang terletak di Beijing China. Selain dapat melihat proses pembuatan peranti pintar, pihak Xiaomi juga memberikan sedikit penerangan tentang peranti terbaru mereka yang telah dilancarkan secara global iaitu siri Xiaomi 17 tapi lebih tertumpu kepada prestasi kamera Xiaomi 17 Ultra. Selain itu, terdapat sesi soalan jawab bersama jurutera disebalik teknologi kamera Xiaomi 17 Ultra dan ini beberapa soalan yang dikemukakan.

image is not available

Soalan – Dulu Xiaomi pernah menggunakan teknologi variable aperture dalam sistem kamera model Ultra, namun kini ia sudah diganti dengan teknologi zum optikal berterusan secara mekanikal, adakah teknologi ini variable aperture sudah tidak relevan untuk digunakan dan lebih sesuai digantikan dengan kebolehan zum?

Jawapan – Teknologi variable aperture sememangnya sangat mengagumkan dan kami sebenarnya masih lagi menilai untuk menggunakannya pada akan datang tapi untuk masa sekarang kami berfikir yang teknologi zum optical berterusan secara mekanikal adalah terbaik untuk pengguna dan dapat menjamin kualiti gambar yang lebih baik. Kami juga mengambil pendapat-pendapat dari pengguna dan juga rakan media untuk terus menilai apakah yang lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, kami tidak sepenuhnya meninggalkan teknologi variable aperture.

image is not available

Soalan – Apakah cabaran yang dihadapi untuk merealisasikan teknologi zum optikal berterusan secara mekanikal ini pada Xiaomi 17 Ultra?

Jawapan – Cabaran untuk meletakkan teknologi zum ini adalah kami perlu mengorbankan satu lensa telephoto tambahan yang ada pada model sebelum ini untuk memuatkan komponen yang sesuai untuk zum secara mekanikal itu. 

Selain itu kami perlu memastikan kesemua jarak fokal dari 75mm sehingga 100mm itu dapat berfungsi dengan betul. Ia agak kompleks kerana kami perlu pastikan yang setiap jarak fokal itu dapat memberikan ketepatan fokus yang sama untuk setiap jarak. 

Kemudian, disebabkan terdapat komponen yang bergerak dalam modul kamera itu, ia mendatangkan sedikit sebanyak cabaran kepada pemasangan komponen itu sendiri dan perlu ketelitian yang tinggi supaya dapat hasil seperti yang diinginkan. Namun kami berjaya atasi semua itu dan terlahirlah Xiaomi 17 Ultra.

image is not available

Soalan – Bagaimana teknologi LOFIC HDR dapat mencapai satu tahap Dynamic Range yang lebih baik berbanding sebelum ini? 

Jawapan – Kalau dibandingkan dengan teknologi HDR sebelum ini ia mempunyai beberapa isu. Contohnya, Multi Frame HDR mempunyai masalah motion blur dan ghosting kerana ia mengambil banyak gambar dan diproses menjadi satu. 

Teknologi Dual Gain Conversion (DCG) pula tidak dapat mengawal cahaya yang terlalu banyak dan boleh menyebabkan overexpose dan susah untuk dapatkan highlight yang betul dalam gambar. 

Dengan LOFIC HDR yang digabungkan bersama sensor 1 inci, kami menambah kapasitor ekstra dalam sensor untuk mengawal lebihan cahaya untuk mendapatkan kualiti Dynamic Range yang lebih baik. Bayangkan sumber cahaya itu seperti hujan yang ditakung oleh sensor sebagai baldi kecil bila sudah penuh ia akan melimpah lalu menyebabkan overexpose. Jadi dengan LOFIC HDR, kami letakkan satu baldi yang besar iaitu kapasitor tambahan sebelah baldi yang kecil untuk menghalang dari air yang melimpah dan menyelesaikan masalah overexpose.

image is not available

Jadi, itulah serba sedikit tentang teknologi disebalik keupayaan kamera Xiaomi 17 Ultra. Boleh dikatakan ia lebih canggih dan dapat memudahkan pengguna kasual mahupun professional untuk merakam gambar-gambar yang berkualiti tinggi.