Disiplin, sabar pacu UM akhiri dominasi UiTM

LocalFootball
7 Sep 2026 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Disiplin, sabar pacu UM akhiri dominasi UiTM
Pengurusan tertinggi dan para pemain meraikan kejayaan UM meraih emas setelah menewaskan UiTM 1-0 dalam aksi final di UM Arena pada Sabtu. Foto: SUKIPT 2026

DISIPLIN dan sabar menjadi ramuan utama Universiti Malaya (UM) menamatkan dominasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas menang 1-0 pada final di UM Arena pada Sabtu.

Jurulatih UM, Ashadi Mohd Yusoff berkata, pemainnya melaksanakan tugasan dengan penuh komitmen walaupun berdepan tekanan dan asakan daripada UiTM yang hadir selaku juara bertahan.

“Alhamdulillah, pertama sekali saya amat berterima kasih kepada semua pemain. Mereka telah bermain dengan sepenuh hati dan jiwa, memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus,” katanya.

Gol kemenangan UM dijaringkan Mohamed Amin Imran Mohamed Akbar menerusi rembatan leret pada masa tambahan separuh masa pertama yang menewaskan penjaga gol UiTM, Azim Nasri Issan.

Ashadi berkata, anak buahnya diarahkan supaya kekal berdisiplin terutama di kawasan tengah dengan menutup ruang pergerakan lawan, selain membiarkan UiTM menguasai bola sebelum mencari peluang melakukan serangan balas pantas.

“Kita membiarkan mereka mengawal bola, sambil kita menunggu peluang yang tepat untuk melakukan serangan balas pantas. Apabila kita berjaya mendapatkan satu gol, kita kekal bermain secara bertahan dan terus mematahkan asakan mereka,” katanya.

Tugas UM menjadi lebih mudah apabila UiTM terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wan Muhammad Aqil Hakimi Wan Ahmad Hazmi@Megat Putih dilayangkan kad kuning kedua hanya empat minit selepas babak kedua bermula.

Ashadi mengakui layangan kad merah itu memberikan kelebihan besar kepada UM, namun beliau tetap mengingatkan pemain pertahanan supaya tidak terlalu teruja untuk membantu serangan kerana UiTM masih berbahaya menerusi hantaran bola tinggi dan kepantasan barisan serangannya.

“Kad merah itu memberikan kelebihan yang besar kepada kami. Namun begitu, saya tetap menegaskan kepada barisan pertahanan supaya kekal di posisi masing-masing dan jangan terlalu teruja untuk naik menyerang,” katanya.

UM turut kehilangan seorang pemain di penghujung separuh masa kedua apabila pemain gantian Ameer Nur Iman Aminuddin menerima kad kuning kedua sebelum dilayangkan kad merah, namun kelebihan satu gol berjaya dipertahankan hingga wisel penamat.

Ashadi mengakui keputusan mungkin berbeza sekiranya kedua-dua pasukan kekal beraksi 11 lawan 11, tetapi bersyukur kemenangan dan rezeki memihak kepada UM pada malam berkenaan.

“Secara jujurnya, kalau perlawanan kekal 11 lawan 11, mungkin keputusannya akan berbeza. Bagaimanapun, Alhamdulillah, keputusan dan rezeki memihak kepada kita,” katanya.

Kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan UM menamatkan penguasaan UiTM yang muncul juara SUKIPT dalam tiga edisi berturut-turut, sekali gus membolehkan tuan rumah merangkul ‘ibu segala pingat’ dan Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2026.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved