UNIVERSITI Malaya (UM) muncul pemilik ‘ibu segala pingat’ Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas menundukkan juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1-0 pada aksi final bola sepak di UM Arena, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Kejayaan itu turut melengkapkan pencapaian berganda buat UM apabila dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2026 selain membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan dan piala iringan.
UM tampil lebih bertenaga pada awal permainan dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-12, namun tandukan Aiyubi Solahuddinizam Muhammad Nasarudin sekadar menggegar palang gol UiTM.
UiTM yang memburu kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pula tidak berdiam diri apabila beberapa kali mengancam kubu UM, tetapi penjaga gol Aghni Abdul Shukor Abduloh tampil cemerlang menafikan percubaan pasukan lawan.
Ketika permainan menuju penghujung babak pertama, UM akhirnya memecah kebuntuan apabila Mohamed Amin Imran Mohamed Akbar melepaskan rembatan leret yang menewaskan Azim Nasri Issan pada masa tambahan untuk membawa pasukannya mendahului 1-0.
UiTM yang turun dengan misi memburu kebangkitan bagaimanapun berdepan kesukaran apabila Wan Muhammad Aqil Hakimi Wan Ahmad Hazmi@Megat Putih menerima kad kuning kedua hanya empat minit selepas babak kedua bermula, sekali gus diperintahkan keluar padang.
Beraksi dengan 10 pemain memaksa UiTM lebih berhati-hati, namun intensiti perlawanan semakin meningkat apabila kedua-dua pasukan beraksi agresif, termasuk beberapa kekasaran terhadap pemain lawan.
UM kemudian turut kehilangan seorang pemain apabila Ameer Nur Iman Aminuddin yang masuk sebagai pemain gantian dilayangkan kad kuning kedua sebelum menerima kad merah di penghujung separuh masa kedua.
Situasi itu menjadikan aksi final semakin sengit pada penghujung permainan dengan UiTM terus meningkatkan tekanan untuk mencari gol penyamaan.
Bagaimanapun, UM kekal tenang mengawal benteng pertahanan meskipun diasak bertubi-tubi oleh UiTM, sekali gus memastikan kelebihan satu gol tidak tergugat sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan UM merampas gelaran daripada UiTM yang sebelum ini muncul juara SUKIPT dalam tiga edisi berturut-turut, sekali gus menjulang ‘ibu segala pingat’ serta Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2026 dalam saingan kali ini.






