
Baru sahaja melancarkan produk baharu, Insta360 nampaknya berdepan “episod hitam” apabila DJI telah memfailkan saman terhadap syarikat itu di Mahkamah Persekutuan Texas berhubung siri kamera Luna yang didakwa menyalahi paten teknologi Osmo Pocket. Saman yang difailkan pada Jun 2026 ini mendakwa model Luna Pro dan Luna Ultra menyalin bulat-bulat paten DJI yang digunakan pada Osmo Pocket.

Kes ini melibatkan dua jenis paten iaitu paten reka bentuk (ornamental design) dan paten fungsi. Paten fungsi ialah perlindungan undang-undang terhadap cara sesuatu produk beroperasi dan teknologi yang digunakan di dalamnya. Dalam kes kamera Luna, ia merangkumi kawalan gimbal, sistem penjejakan subjek, paparan masa nyata serta mod pertukaran.
Secara mudahnya, paten fungsi melindungi cara kerja produk, bukan sekadar rupa bentuk luaran. Pelanggaran paten jenis ini dianggap serius kerana ia menjejaskan hak penuh pemilik paten untuk menggunakan dan menjual teknologi yang mereka bangunkan di pasaran. Paten jenis ini juga amat penting kerana ia melindungi ciptaan yang boleh digunakan terus dalam produk.

Keadaan yang berlaku ini turut menimbulkan persoalan besar. Jika DJI menang dalam tuntutan mereka terhadap Insta360 ini, apa pula kesannya kepada jenama lain yang merancang produk dengan konsep serupa? Kes DJI dan Insta360 ini nampaknya boleh menjadi titik tolak yang menentukan bagaimana jenama seperti Oppo atau Vivo menyusun strategi mereka dalam pasaran produk yang lebih kurang sama pada masa depan.
sumber – Legal News Feed



